Bursa Malaysia dibuka rendah sebelum kembali meningkat, dipacu minat belian

Bernama
Julai 10, 2023 10:40 MYT
Menurut Malacca Securities, pelabur dijangka kekal berhati-hati sambil menantikan pengeluaran data kadar pengangguran Malaysia. - Gambar fail
KUALA LUMPUR: Bursa Malaysia dibuka rendah pada awal dagangan sebelum kembali meningkat, didorong oleh minat belian baharu berikutan harga saham yang lebih rendah di tengah-tengah sentimen pasaran tempatan yang berhati-hati, kata seorang peniaga.
Pada 9.17 pagi, FTSE Bursa Malaysia KLCI (FBM KLCI) meningkat 3.81 mata kepada 1,381.48 daripada 1,377.67 pada penutup Jumaat.
Indeks utama dibuka 0.11 mata lebih rendah pada 1,377.56.
Pasaran yang lebih luas turut positif, menyaksikan kaunter untung mengatasi kaunter rugi 185 berbalas 165, manakala 291 kaunter tidak berubah, 1,618 tidak diniagakan dan 26 yang lain digantung.
Jumlah dagangan 275.21 juta unit bernilai RM141.91 juta.
Menurut Malacca Securities Sdn Bhd menerusi catatan penyelidikannya, pelabur dijangka kekal berhati-hati sambil menantikan pengeluaran data kadar pengangguran Malaysia.
"Saham-saham berharga rendah mungkin menyaksikan konsolidasi selepas mempamerkan prestasi kukuh minggu lepas. Walaupun pemulihan masih berlaku, kami menjangkakan kenaikan harga mungkin terhad di tengah-tengah aktiviti pengambilan untung.
"Selain itu, kami mengunjurkan tumpuan akan beralih ke arah pendapatan korporat yang akan datang di AS. Bagi komoditi pula, minyak mentah Brent pulih melebihi paras US$78 setong, manakala harga minyak sawit mentah susut menghampiri paras RM3,800 satu tan," katanya.
Dalam kalangan saham berwajaran tinggi, Maybank dan CIMB masing-masing tidak berubah pada paras RM8.67 dan RM5.16, Public Bank mengukuh 2.0 sen kepada RM3.87, IHH Healthcare menambah satu sen menjadi RM5.80 manakala TNB susut 1.0 sen kepada RM9.04.
Bagi saham aktif, SkyWorld tidak berubah pada 80 sen, MyEG meningkat 3.5 sen kepada 75 sen, manakala Sarawak Consolidated turun setengah sen menjadi 46 sen dan RGB International berkurangan 1.0 sen kepada 37 sen.
Di papan indeks, Indeks FBM Emas menokok 26.01 mata kepada 10,192.49, Indeks FBMT 100 lebih tinggi 26.75 mata pada 9,887.07, Indeks FBM ACE meningkat 9.0 mata menjadi 5,148.87, Indeks FBM 70 naik 34.27 mata kepada 13,479.96 dan Indeks FBM Emas Syariah mengukuh 28.72 mata kepada 10,459.90.
Mengikut sektor, Indeks Perkhidmatan Kewangan memperoleh 34.42 mata kepada 15,441.91, Indeks Tenaga meningkat 10.27 mata kepada 802.47, Indeks Perladangan menambah 11.03 mata kepada 6,813.96, dan Indeks Produk dan Perkhidmatan Perindustrian merosot 0.09 mata kepada 158.16.
-- BERNAMA
#Bursa Malaysia #kadar pengangguran #Malacca Securities #saham
;