Bursa Malaysia dibuka rendah, prestasi Wall Street turut lemah
Bernama
Mac 8, 2023 10:10 MYT
Mac 8, 2023 10:10 MYT
KUALA LUMPUR: Bursa Malaysia dibuka lebih rendah hari ini, mengambil petunjuk daripada prestasi lemah semalaman Wall Street.
Pada 9.05 pagi, indeks penanda aras FTSE Bursa Malaysia KLCI (FBM KLCI) turun 4.87 mata kepada 1,453.80 berbanding penutupan semalam pada paras 1,458.67.
Indeks utama dibuka pada 1,455.47, turun 3.2 mata.
Pergerakan harga di pasaran secara keseluruhan negatif, menyaksikan kaunter rugi mengatasi untung 266 berbalas 74, manakala 206 kaunter tidak berubah, 1,697 tidak diniagakan dan 11 yang lain digantung.
Jumlah dagangan adalah sebanyak 144.52 juta unit bernilai RM61.02 juta.
Menurut Naib Presiden Penyelidikan Ekuiti Rakuten Trade Sdn Bhd Thong Pak Leng, Wall Street ditutup dengan lebih rendah selepas pengerusi Rizab Persekutuan Amerika Syarikat (FED) Jerome Powell mencadangkan bahawa kadar faedah perlu lebih tinggi dan lama pada Laporan Kewangan Separuh Tahun Persekutuan kepada Kongres AS.
Kenyataan yang lebih berpihak kepada menaikkan kadar faedah itu telah mencetuskan kebimbangan akan kenaikan kadar yang lebih besar pada mesyuarat Jawatankuasa Pasaran Terbuka Persekutuan yang akan datang pada 21-22 Mac.
"Kami menjangkakan beberapa halangan di pasaran hari ini berikutan ulasan kadar oleh Rizab Persekutuan dan menjangkakan indeks bergerak dalam julat 1,450-1,460 di tengah-tengah kelemahan serantau," katanya kepada Bernama.
Dalam kalangan saham berwajaran tinggi Bursa - Tenaga merosot dua sen kepada RM9.36, Hong Leong Bank turun enam sen kepada RM20.50, Petronas Chemicals dan Telekom turun tiga sen masing -masing mencatatkan RM7.21 dan RM4.92, manakala Nestle tidak berubah pada RM135.
Bagi saham aktif, Kejuruteraan Asastera, Advance Synergy dan Perdana Petroleum turun setengah-sen, masing-masing pada 33 sen, 13.5 sen dan 20 sen, Icon Offshore susut satu sen menjadi 8.5 sen, manakala YBS international memperoleh 1.5 sen kepada 61.5 sen.
Di papan indeks, indeks FBM EMAS menguncup 37.45 mata kepada 10,593.91, indeks FBM 70 jatuh 45.39 mata menjadi 13,453.56 dan indeks FBMT 100 merosot 34.47 mata kepada 10,272.38, Indeks FBM Emas Syariah lebih rendah 45.60 mata kepada 10,853.86 dan Indeks FBM ACE berkurangan 32.88 mata kepada 5,453.61.
Mengikut sektor, indeks perkhidmatan kewangan berkurangan 34.23 mata kepada 16,082.05, Indeks Perladangan menyusut 74.50 mata kepada 6,935.50, dan Indeks Tenaga lebih rendah 12.62 mata kepada 882.70, manakala Indeks Perindustrian dan Perkhidmatan Indeks menguncup 0.29 mata kepada 177.52.
-- BERNAMA