Bursa Malaysia dibuka rendah, jejaki prestasi Wall Street
Bernama
Februari 28, 2025 11:30 MYT
Februari 28, 2025 11:30 MYT
Pada jam 9.05 pagi, FTSE Bursa Malaysia KLCI (FBM KLCI) susut 7.83 mata kepada 1,578.77 daripada penutupan Khamis pada 1,586.60. -Gambar hiasan/Dagang News
KUALA LUMPUR: Bursa Malaysia dibuka rendah pada sesi awal dagangan Jumaat, dipengaruhi oleh prestasi hambar semalaman Wall Street, kata penganalisis.
Pada jam 9.05 pagi, FTSE Bursa Malaysia KLCI (FBM KLCI) susut 7.83 mata kepada 1,578.77 daripada penutupan Khamis pada 1,586.60.
Indeks dibuka 4.63 mata lebih rendah pada 1,581.97.
Di pasaran meluas, kaunter rugi mengatasi untung iaitu 293 berbanding 83, sebanyak 210 kaunter tidak berubah, 1,791 tidak didagangkan manakala 67 lain digantung dagangannya.
Jumlah dagangan sebanyak 185.72 juta unit bernilai RM121.13 juta.
Naib Presiden Penyelidikan Ekuiti Rakuten Trade Sdn Bhd,Thong Pak Leng berkata Presiden Amerika Syarikat (AS) Donald Trump mengesahkan semula bahawa tarif ke atas Kanada dan Mexico akan berkuat kuasa pada 4 Mac, pada masa sama mengancam untuk mengenakan tarif 25 peratus ke atas Kesatuan Eropah.
Selain itu, peningkatan dalam tuntutan pengangguran terkini menandakan ekonomi yang lemah seterusnya mempengaruhi sentimen, katanya kepada Bernama.
"Di peringkat tempatan, FBM KLCI juga ditutup rendah berikutan beberapa aktiviti pengambilan untung.
"Namun begitu, kami agak kecewa kerana aktiviti pembelian baru-baru ini tidak mampan. Akibatnya, indeks penanda aras mungkin melalui fasa penyatuan," katanya.
Sehubungan itu, Thong menjangkakan indeks akan berlegar dalam julat 1,580-1,590 hari ini.
Saham wajaran tinggi menyaksikan Maybank dan IHH Healthcare tidak berubah masing-masing pada RM10.66 dan RM7.31.
CIMB merosot satu sen kepada RM8.21, Public Bank turun dua sen kepada RM4.47 dan Tenaga Nasional jatuh 10 sen kepada RM13.46.
Bagi saham aktif, Genting Malaysia susut 30 sen kepada RM2.06 dan MR D.I.Y. merosot lapan sen kepada RM1.50, TWL kekal tidak berubah pada 2.5 sen manakala KNM menambah 1.5 sen kepada tujuh sen.
Di papan indeks pula, Indeks FBM Emas jatuh 83.35 mata kepada 11,836.60, Indeks FBMT 100 merosot 83.91 mata kepada 11,583.06 dan Indeks FBM Emas Shariah kehilangan 82.97 mata kepada 11,512.82, Indeks FBM 70 merosot 228.18 mata kepada 16,988.72 dan Indeks FBM ACE susut 21.74 mata kepada 4,802.23.
Bagi prestasi sektor, Indeks Produk dan Perkhidmatan Perindustrian menguncup 1.26 mata kepada 160.87, Indeks Tenaga susut 0.43 mata kepada 766.77 dan Indeks Perkhidmatan Kewangan turun 29.11 mata kepada 19,387.32, bagaimanapun Indeks Perladangan naik 12.57 mata kepada 7,594.42.
-- BERNAMA