Bursa Malaysia dibuka rendah, jejak prestasi Wall Street

Bernama
Julai 25, 2024 03:20 MYT
Pada 9.10 pagi, FTSE Bursa Malaysia KLCI (FBM KLCI) susut 10.03 mata kepada 1,611.11 daripada penutupan Rabu pada 1,621.14. Indeks dibuka 4.06 mata lebih rendah pada 1,617.08. -Gambar fail/Bernama
KUALA LUMPUR: Bursa Malaysia dibuka rendah pada sesi awal dagangan Khamis, dipengaruhi oleh prestasi hambar semalaman Wall Street, kata penganalisis.
Pada 9.10 pagi, FTSE Bursa Malaysia KLCI (FBM KLCI) susut 10.03 mata kepada 1,611.11 daripada penutupan Rabu pada 1,621.14. Indeks dibuka 4.06 mata lebih rendah pada 1,617.08.
Di pasaran meluas, kaunter rugi mengatasi untung iaitu 634 berbanding 61, sebanyak 219 kaunter tidak berubah, 1,574 tidak didagangkan manakala 17 lain digantung dagangannya.
Jumlah dagangan sebanyak 449.34 juta unit bernilai RM203.89 juta.
Peniaga ActivTrade Anderson Alves berkata ekuiti Asia dijangka susut hari ini berikutan tempias sentimen mengelak risiko yang ketara di Wall Street.
"Indeks-indeks utama Amerika Syarikat (AS) mengakhiri dagangan dengan lebih rendah, diheret turun oleh saham-saham bermodal besar dalam sektor-sektor teknologi, pengguna dan perkhidmatan komunikasi.
"Sentimen negatif itu dijejaskan lagi oleh penyusutan pendapatan Google dan Tesla, menjelang pengumuman data penting membabitkan kelompok saham utama dikenali sebagai 'Magnificent Seven' dalam minggu-minggu mendatang," katanya.
Syarikat lain dalam kelompok itu adalah Alphabet, Amazon, Apple, Meta, Microsoft dan Nvidia.
Beliau juga menyifatkan sentimen mengelak risiko itu berkemungkinan cenderung kepada saham-saham selamat dengan sektor utiliti dan penjagaan kesihatan diunjur meningkat.
Bagi tempoh seterusnya, beliau berkata peniaga akan mula menerima impak aktiviti penjualan ketara baru-baru ini dan sebaliknya menumpukan laporan Keluaran Dalam Negara Kasar bagi dua suku AS serta data Perbelanjaan Penggunaan Peribadi negara maju itu, esok.
Di peringkat tempatan, saham wajaran tinggi menyaksikan Maybank susut 4.0 sen kepada RM10.08, Tenaga Nasional merosot 14.0 sen kepada RM14.26, Public Bank dan CIMB Group masing-masing turun 2.0 sen kepada RM4.16 dan RM7.18 manakala IHH Healthcare berkurangan 3.0 sen kepada RM6.22.
Bagi saham aktif, Zen Tech International dan Artroniq Bhd masing-masing naik setengah sen kepada 1.5 sen dan 21.5 sen manakala Aimflex Bhd turun setengah sen kepada 19.5 sen, Hubline Bhd rugi 1.0 sen kepada 12 sen dan RGB International menguncup 1.5 sen kepada 41.5 sen.
Di papan indeks pula, Indeks FBM Emas berkurangan 105.08 mata kepada 12,442.74, Indeks FBMT 100 merosot 97.31 mata kepada 12,028.35 dan Indeks FBM Emas Syariah kehilangan 127.25 mata kepada 12,749.63.
Indeks FBM 70 merosot 231.30 mata kepada 18,463.09 dan Indeks FBM ACE susut 87.04 mata kepada 5,769.82.
Prestasi sektor menyaksikan Indeks Perkhidmatan Kewangan turun 76.46 mata kepada 17,873.84, Indeks Perladangan berkurangan 5.86 mata kepada 7,166.78 manakala Indeks Produk dan Perkhidmatan Perindustrian merosot 1.70 mata kepada 191.61 dan Indeks Tenaga susut 10.10 mata kepada 955.93.
-- BERNAMA
#Bursa Malaysia #Wall Street #fbm klci #ftse