Bursa Malaysia dibuka rendah disebabkan kegiatan pengambilan untung

Bernama
Mac 30, 2023 11:00 MYT
Pada 9.05 pagi, FTSE Bursa Malaysia KLCI (FBM KLCI) turun 2.86 mata kepada 1,417.49. - Foto fail/BERNAMA
KUALA LUMPUR: Indeks utama Bursa Malaysia dibuka rendah pagi ini apabila aktiviti pengambilan untung ke atas saham-saham mewah muncul selepas bursa tempatan mencatatkan peningkatan semalam.
Pada 9.05 pagi, FTSE Bursa Malaysia KLCI (FBM KLCI) turun 2.86 mata kepada 1,417.49 daripada penutup semalam pada paras 1,420.35.
Indeks utama dibuka 2.54 mata lebih rendah pada 1,417.81.
Pergerakan harga di pasaran bagaimanapun positif menyaksikan kaunter untung mengatasi kaunter rugi 188 berbanding 104, manakala 203 kaunter tidak berubah, 1,796 tidak diniagakan dan 75 yang lain digantung.
Jumlah dagangan adalah sebanyak 200.86 juta unit bernilai RM76.42 juta.
Selain itu, terdapat jangkaan bahawa Rizab Persekutuan akan menghentikan kenaikan kadarnya pada Mei manakala laporan pendapatan AS turut memberangsangkan.
Komposit Nasdaq melonjak 210 mata manakala hasil 10 tahun AS kekal pada 3.57 peratus.
"Seiring dengan sentimen yang semakin baik, kami berpendapat aliran meningkat yang berterusan di bursa tempatan semalam kekal dan mengunjurkan indeks berlegar dalam julat 1,420-1,435 hari ini.
"Minat belian juga akan kembali ke kaunter perladangan apabila minyak sawit mentah ditutup pada paras tertinggi seminggu melepasi paras RM3,700 setiap tan," kata Thong.
Dalam kalangan kaunter wajaran tinggi, Tenaga Nasional dan AMMB turun dua sen masing-masing kepada RM9.12 dan RM3.71.
Maxis, CelcomDigi, CIMB dan Telekom Malaysia juga merosot tiga sen kepada RM4.00, RM4.25, RM5.28 dan RM4.92.
Bagi saham aktif, Bintai Kinden kerugian dua sen kepada empat sen, YBS International menambah 4.5 sen kepada 74.5 sen, Tanco naik setengah sen menjadi 45.5 sen manakala Joe Holdings tidak berubah pada 1.5 sen.
Di papan indeks, Indeks FBM Emas lemah 3.59 mata kepada 10,384.43, Indeks FBMT 100 turun 6.76 mata menjadi 10,076.61 dan Indeks FBM Emas Syariah susut 6.00 mata kepada 10,693.08.
Indeks FBM 70 pula mengukuh 46.99 mata pada 13,457.30 manakala Indeks FBM ACE meningkat 28.77 mata kepada 5,238.73.
Mengikut sektor, Indeks Perkhidmatan Kewangan susut 9.41 mata kepada 15,679.77, manakala Indeks Tenaga menokok 1.32 mata menjadi 833.57, Indeks Produk dan Perkhidmatan Perindustrian meningkat 0.93 mata kepada 169.70 dan Indeks Perladangan pulih 3.14 mata kepada 6,683.71.
-- BERNAMA
#Bursa Malaysia #pengambilan untung #saham mewah #fbm klci
;