Bursa Malaysia dibuka rendah berikutan tekanan jualan

Bernama
Oktober 4, 2023 11:10 MYT
Pada 9.05 pagi, FTSE Bursa Malaysia KLCI (FBM KLCI) merosot 3.0 mata kepada 1,417.01 daripada 1,420.01 pada Selasa. -Gambar fail/Bernama
KUALA LUMPUR: Bursa Malaysia dibuka rendah hari ini berikutan tekanan jualan dalam saham wajaran tinggi terpilih, kata peniaga.
Pada 9.05 pagi, FTSE Bursa Malaysia KLCI (FBM KLCI) merosot 3.0 mata kepada 1,417.01 daripada 1,420.01 pada Selasa.
Indeks dibuka rendah 2.10 mata kepada 1,417.91.
Dalam pasaran secara menyeluruh, kaunter rugi mengatasi kaunter untung sebanyak 280 berbanding 57 manakala 209 kaunter tidak berubah, 1,748 tidak diniagakan dan 24 yang lain digantung.
Jumlah dagangan sebanyak 140.68 juta unit bernilai RM68.76 juta.
Menurut Malacca Securities Sdn Bhd, tekanan inflasi yang tinggi, hasil Perbendaharaan Amerika Syarikat (AS) yang meningkat serta jangkaan kemungkinan satu lagi langkah kenaikan kadar faedah oleh Rizab Persekutuan AS akan terus meletakkan pasaran saham di bawah tekanan penurunan.
"Berdasarkan Wall Street ditutup dalam sentimen negatif, kami menjangka wujud minat jualan dalam sektor teknologi di peringkat tempatan manakala sektor tenaga akan terus menerima tekanan berikutan harga minyak Brent yang merosot," katanya dalam nota penyelidikan hari ini.
Bagaimanapun, ia berpendapat peniaga akan menempatkan diri mereka dalam sektor bahan binaan dan pembinaan menjelang pembentangan Belanjawan 2024 minggu depan.
Dalam kalangan saham wajaran tinggi, Maybank dan Petronas Chemicals, masing-masing tidak berubah pada RM8.77 dan RM7.0 manakala Public Bank dan Tenaga Nasional, masing-masing berkurangan satu sen kepada RM4.05 dan RM9.96 serta CIMB merosot dua sen kepada RM5.39.
Daripada saham aktif, Sealink International naik 1.5 sen kepada 20.5 sen, Hextar dan Evergreen Max Cash, masing-masing menambah setengah sen kepada 41 sen dan 46 sen, KNM tidak berubah pada 15 sen dan Tanco merosot setengah sen kepada 54 sen.
Di papan indeks, Indeks FBM Emas merosot 29.86 mata kepada 10,505.51, Indeks FBMT 100 berkurangan 27.90 mata kepada 10,174.06 dan Indeks FBM Emas Shariah susut 31.22 mata kepada 10,792.28.
Indeks FBM ACE berkurangan 20.15 mata kepada 5,142.10 manakala Indeks FBM 70 merosot 66.31 mata kepada 14,013.45.
Mengikut sektor, Indeks Produk Perindustrian dan Perkhidmatan merosot 0.35 mata kepada 169.73, Indeks Tenaga susut 5.63 mata kepada 866.09, Indeks Perkhidmatan Kewangan berkurangan 37.27 mata kepada 15,867.94 dan Indeks Perladangan jatuh 25.19 mata kepada 6,834.73.
-- BERNAMA
#Bursa Malaysia #fbm klci #Wall Street #harga minyak
;