Bursa Malaysia dibuka rendah berikutan aktiviti pengambilan untung

Bernama
April 26, 2023 10:45 MYT
Pada 9.05 pagi, FTSE Bursa Malaysia KLCI (FBM KLCI) menyusut 3.30 mata kepada 1,421.89 daripada 1,425.19 pada Selasa. -Gambar fail/Bernama
KUALA LUMPUR: Bursa Malaysia mengakhiri kenaikan semalam apabila ditutup lebih rendah dalam dagangan awal hari ini berikutan aktiviti pengambilan untung, mengambil petunjuk daripada kemerosotan semalaman di Wall Street, kata seorang penganalisis.
Pada 9.05 pagi, FTSE Bursa Malaysia KLCI (FBM KLCI) menyusut 3.30 mata kepada 1,421.89 daripada 1,425.19 pada Selasa.
Indeks utama itu dibuka rendah 3.22 mata kepada 1,421.97.
Sentimen pasaran adalah negatif dengan kaunter rugi mengatasi kaunter untung sebanyak 182 berbanding 91, manakala 209 kaunter tidak berubah, 1,812 tidak diniagakan dan 25 lain digantung dagangan.
Jumlah dagangan berjumlah 122.41 juta unit bernilai RM59.86 juta.
Malacca Securities Sdn Bhd dalam nota penyelidikan hari ini berkata saham-saham Amerika Syarikat menyaksikan kemerosotan yang ketara disebabkan kebimbangan terhadap perbankan yang kembali tercetus dan sentimen berhati-hati di tengah-tengah minggu pendapatan teknologi.
"Kami percaya tekanan jualan mungkin melanda bursa serantau dan tempatan.
"Berikutan situasi berhati-hati di pasaran global, pelabur mungkin mengelakkan kaunter-kaunter teknologi terutamanya selepas Nasdaq merosot di bawah paras psikologi 12,000," katanya.
Menurut firma penyelidikan itu, sektor-sektor seperti utiliti dan telekomunikasi mungkin menerima tarikan apabila pelabur mengalihkan tumpuan mereka terhadap saham-saham defensif.
"Sementara itu, saham-saham penjagaan kesihatan mungkin berada dalam radar peniaga untuk dagangan jangka pendek berikutan kes COVID-19 Arcturus yang dikesan di Malaysia," katanya.
Dalam kalangan kaunter saham wajaran tinggi, Maybank dan Public Bank rendah satu sen, masing-masing kepada RM8.64 dan RM3.92, Petronas Chemicals menguncup sembilan sen kepada RM7.11 dan CIMB turun dua sen kepada RM5.14, manakala CelcomDigi menokok satu sen kepada RM4.42.
Bagi saham aktif, Star Media meningkat 4.5 sen kepada 55.5 sen, Salutica dan Computer Forms menokok satu sen masing-masing kepada RM1.06 dan 27.5 sen, manakala SNS Network naik satu sen kepada 26.5 sen.
Di papan indeks, Indeks FBM Emas berkurangan 24.43 mata kepada 10,438.66, Indeks FBMT 100 susut 23.91 mata kepada 10,125.54 dan Indeks FBM Emas Shariah turun 28.51 mata kepada 10,778.02.
Indeks FBM ACE rendah 6.55 mata kepada 5,313.09 dan Indeks FBM 70 susut 33.82 mata kepada 13,595.79.
Mengikut sektor, Indeks Produk dan Perkhidmatan Perindustrian berkurangan 0.37 mata kepada 171.59, Indeks Perkhidmatan Kewangan susut 11.21 mata kepada 15,612.63 dan Indeks Perladangan rendah 37.44 mata kepada 6,891.17.
-- BERNAMA
#Bursa Malaysia #fbm klci #Malacca Securities #CIMB
;