Bursa Malaysia dibuka rendah
Bernama
Februari 3, 2025 11:32 MYT
Februari 3, 2025 11:32 MYT
KUALA LUMPUR: Bursa Malaysia dibuka rendah pada sesi awal pada hari dagangan pertama Februari berikutan pelabur memberi tumpuan kepada ketegangan perdagangan global yang meningkat dan tindakan balas susulan tarif Amerika Syarikat (AS).
Pada 9.07 pagi, FTSE Bursa Malaysia KLCI (FBM KLCI) merosot 5.26 mata kepada 1,551.66 daripada 1,556.92 pada Jumaat lepas.
Jumlah dagangan sebanyak 191.58 juta saham bernilai RM87.55 juta.
Pada sesi pembukaan, indeks petunjuk pasaran berkurangan 9.36 mata kepada 1,547.56.
Sementara itu, suasana pasaran negatif, dengan 254 kaunter untung mengatasi 105 kaunter rugi manakala 255 kaunter tidak berubah, 1,680 tidak diniagakan dan 14 yang lain digantung.
Menurut Hong Leong Investment Bank, pelabur sedang memantau potensi tindakan balas susulan tarif AS dan cabaran ekonomi China, tekanan berterusan daripada kecerdasan buatan dan Sistem Kawalan Teragih (DCS), aliran keluar dana asing yang berterusan serta musim pelaporan pendapatan pada Februari yang akan datang.
"Di sebalik cabaran luaran dan bacaan teknikal FBM KLCI yang negatif, indeks dijangka meneruskan fasa konsolidasinya, dengan paras sokongan antara 1,529 dan 1,545 manakala paras halangan berada pada 1,566, 1,589 dan 1,600," katanya dalam nota penyelidikan hari ini.
Sementara itu, Ketua Penyelidikan Rakuten Trade Sdn Bhd Kenny Yee berkata FBM KLCI berjaya ditutup positif pada Jumaat lalu selepas mencatatkan prestasi yang lemah pada hari-hari sebelumnya tanpa sebarang petunjuk meningkat pasca Tahun Baharu Cina.
"Bagaimanapun, perlu diberi perhatian bahawa bursa tempatan dilihat bersedia untuk aktiviti belian saham pada masa ini.
"Kami percaya sebahagian dana asing mungkin beralih kepada tawaran nilai yang lebih baik, sekali gus dijangka meneliti semula pasaran Asia berikutan ketidaktentuan yang meningkat di Wall Street," katanya.
Beliau berkata komoditi emas telah mencapai paras tertinggi hampir US$2,800 setiap auns troy.
"Oleh itu, kami menjangka indeks diniagakan dalam julat 1,555 hingga 1,565 hari ini," katanya kepada Bernama.
Dalam kalangan saham wajaran tinggi utama, Maybank dan Public Bank, masing-masing berkurangan dua sen kepada RM10.32 dan RM4.29, Tenaga merosot lapan sen kepada RM13.52, IHH mendatar pada RM7.16 manakala CIMB menambah tiga sen kepada RM8.05.
Bagi kaunter aktif, Compugates naik setengah sen kepada 1.5 sen, MAG meningkat 1.5 sen kepada 21.5 sen, EA mendatar pada satu sen, Carlo Rino merosot satu sen kepada 21.5 sen dan Nationgate turun empat sen kepada RM1.75.
Dalam pasaran secara menyeluruh, Indeks FBM Emas merosot 33.01 mata kepada 11,850.70, Indeks FBMT 100 berkurangan 30.49 mata kepada 11,545.41 dan Indeks FBM Emas Shariah jatuh 39.75 mata kepada 11,697.39.
Indeks FBM ACE berkurangan 2.41 mata kepada 5,192.66 dan Indeks FBM 70 susut 13.92 mata kepada 17,573.10.
Mengikut sektor, Indeks Perkhidmatan Kewangan merosot 31.67 mata kepada 18,822.69, Indeks Produk Perindustrian dan Perkhidmatan susut 0.55 mata kepada 164.82, Indeks Perladangan berkurangan 20.17 mata kepada 7,325.43 manakala Indeks Tenaga turun 4.79 mata kepada 818.53.
-- BERNAMA