Bursa Malaysia dibuka rendah

Bernama
Oktober 4, 2024 11:30 MYT
Pada 9.16 pagi, FTSE Bursa Malaysia KLCI (FBM KLCI) turun 2.41 mata kepada 1,639.14 berbanding paras penutup 1,641.55 pada Khamis. - Foto Bernama
KUALA LUMPUR: Bursa Malaysia dibuka rendah hari ini susut daripada kenaikan semalam berikutan aktiviti pengambilan untung dalam saham wajaran tinggi terpilih di tengah-tengah sentimen bercampur-campur di pasaran serantau, kata seorang penganalisis.
Pada 9.16 pagi, FTSE Bursa Malaysia KLCI (FBM KLCI) turun 2.41 mata kepada 1,639.14 berbanding paras penutup 1,641.55 pada Khamis. Indeks petunjuk pasaran itu dibuka rendah turun 3.06 mata kepada 1,638.49.
Suasana pasaran negatif dengan kaunter rugi mengatasi kaunter untung sebanyak 219 berbanding 177, manakala 309 kaunter kekal tidak berubah, 1,703 tidak diniagakan dan 16 digantung.
Jumlah dagangan berjumlah 204.34 juta unit bernilai RM105.22 juta.
.Malacca Securities Sdn Bhd dalam satu nota penyelidikan hari ini berkata Wall Street ditutup lebih rendah semalaman selepas pengumuman data ekonomi Amerika Syarikat (AS) yang bercampur-campur.
"Tuntutan pengangguran meningkat, tetapi Indeks Pengurus Pembelian Perkhidmatan (PMI) Institute for Supply Management (ISM) menunjukkan pengembangan, dan para peniaga nampaknya menunggu laporan gaji bukan ladang yang akan dikeluarkan malam ini," katanya.
Sementara itu, ringgit susut daripada paras RM 4.11 kepada RM 4.21 berbanding dolar AS dalam tempoh empat hari dagangan minggu ini.
Firma penyelidikan itu percaya peniaga mungkin mengalihkan tumpuan kepada sektor berorientasikan eksport seperti teknologi dan sarung tangan.
"Pelabur juga mungkin menimbang pegangan dalam sektor pembinaan, hartanah, bahan binaan dan utiliti menjelang Belanjawan 2025," katanya.
Dalam kalangan saham wajaran tinggi, Maybank susut 4.0 sen kepada RM10.50, Public Bank turun 1.0 sen kepada RM4.56, CIMB Group jatuh 2.0 sen kepada RM7.97, Tenaga Nasional tidak berubah pada RM14.28 manakala IHH Healthcare menokok 2.0 sen kepada RM7.26.
Dalam kalangan kaunter cergas, OCR Group turun 1.0 sen kepada 3.5 sen, manakala SC Estate, DNex and Alam Maritim naik setengah sen setiap satu masing-masing kepada 1.5 sen, 37.5 sen dan 3.0 sen.
Di papan indeks, Indeks FBM Emas menyusut sebanyak 5.81 mata keoada 12,263.96, manakala Indeks FBM Emas Shariah turun 1.37 mata kepada 12,180.03.
Indeks FBMT 100 berkurangan 7.31 mata kepada 11,955.98 dan Indeks FBM 70 meningkat 27.71 mata kepada 17,323.94, manakala Indeks FBM ACE naik 0.65 mata kepada 5,116.40.
Mengikut sektor, Indeks Perkhidmatan Kewangan susut 36.12 mata kepada 19,224.93, Indeks Tenaga meningkat 30.59 mata kepada 888.40, Indeks Perladangan turun 8.77 mata kepada 7,172.80 dan Indeks Produk dan Perkhidmatan Perindustrian menokokt 0.22 mata kepada 177.
-- BERNAMA
#Bursa Malaysia #dibuka rendah #aktiviti pengambilan untung #saham wajaran tinggi terpilih
;