Bursa Malaysia dibuka rendah

Bernama
Ogos 13, 2024 03:20 MYT
Pada 9.05 pagi, FTSE Bursa Malaysia KLCI (FBM KLCI) merosot 3.95 mata kepada 1,602.71 daripada 1,606.66 pada Isnin. -Gambar fail/Bernama
KUALA LUMPUR: Bursa Malaysia dibuka rendah hari ini berikutan aktiviti pengambilan untung yang sederhana dalam kebanyakan indeks susulan sentimen yang berhati-hati, kata penganalisis.
Pada 9.05 pagi, FTSE Bursa Malaysia KLCI (FBM KLCI) merosot 3.95 mata kepada 1,602.71 daripada 1,606.66 pada Isnin.
Indeks dibuka rendah 0.82 mata kepada 1,605.84.
Dalam pasaran secara menyeluruh, kaunter rugi mengatasi kaunter untung sebanyak 188 berbanding 124, dengan 266 kaunter tidak berubah, 1,868 tidak diniagakan dan sembilan yang lain digantung.
Jumlah dagangan sebanyak 148.15 juta unit bernilai RM71.58 juta.
Naib Presiden Penyelidikan Ekuiti Rakuten Trade Sdn Bhd Thong Pak Leng berkata dengan FBM KLCI kini melebihi paras 1,600 yang disokong oleh institusi tempatan, ia akan mewujudkan keyakinan dalam permodalan yang lebih kecil.
Justeru, katanya jumlah harian dijangka meningkat pada masa depan.
Beliau berkata harga minyak mentah kukuh berikutan ketegangan yang meningkat di Timur Tengah dan data ekonomi Amerika Syarikat (AS) yang lebih positif, dengan harga minyak mentah Brent mencecah hampir US$81 setong.
"Kami menjangka indeks akan berada dalam julat 1,600-1,615 hari ini berikutan sentimen pasaran yang kekal berhati-hati," katanya.
Dalam kalangan saham wajaran tinggi, Press Metal Aluminium merosot 8.0 sen kepada RM4.94, Maxis berkurangan 6.0 sen kepada RM3.48, YTL Corporation susut 4.0 sen kepada RM3.27, Public Bank turun 2.0 sen kepada RM4.24 dan YTL Power International merosot 3.0 sen kepada RM4.43.
Daripada kaunter aktif, Sik Cheong naik 19.5 sen kepada 46.5 sen, Nova MSC menambah setengah sen kepada 22 sen dan Barakah tidak berubah pada 7.5 sen manakala Cape EMS dan Tanco, masing-masing susut 1.0 sen kepada 49.5 sen dan 98 sen.
Kuala Lumpur Kepong mendahului senarai kaunter paling rugi apabila ia merosot 18 sen kepada RM20.68, diikuti Petronas Dagangan dan PPB Group, yang masing-masing berkurangan 14 sen kepada RM17.68 dan RM14.56 serta Sunway Construction Group susut 11 sen kepada RM4.52.
Di papan indeks, Indeks FBM Emas merosot 26.93 mata kepada 12,228.29, Indeks FBMT 100 berkurangan 27.47 mata kepada 11,857.28, Indeks FBM 70 susut 34.68 mata kepada 17,805.06 dan Indeks FBM Emas Shariah turun 24.63 mata kepada 12,377.72.
Bagaimanapun, Indeks FBM ACE meningkat 16.44 mata kepada 5,463.72.
Mengikut sektor, Indeks Perkhidmatan Kewangan merosot 26.60 mata kepada 18,144.88, Indeks Tenaga naik 2.84 mata kepada 929.25, Indeks Produk Perindustrian dan Perkhidmatan berkurangan 0.35 mata kepada 181.17, Indeks Perladangan susut 10.22 mata kepada 7,103.33 dan Indeks Teknologi merosot 0.02 mata kepada 71.69.
-- BERNAMA
#Bursa Malaysia #fbm klci #minyak mentah Brent #aktiviti pengambilan untung