Bursa Malaysia dibuka rendah
Bernama
Ogos 6, 2024 11:46 MYT
Ogos 6, 2024 11:46 MYT
KUALA LUMPUR: Bursa Malaysia dibuka rendah pada Selasa walaupun indeks barometer dibuka tinggi pada awal dagangan susulan prestasi semalaman Wall Street yang lemah.
Pada 9.08 pagi, FTSE Bursa Malaysia KLCI (FBM KLCI) merosot 0.60 mata atau 0.03 peratus kepada 1,535.88 daripada 1,536.48 ketika ditutup semalam.
Indeks dibuka tinggi 5.66 mata kepada 1,542.14.
Dalam pasaran secara menyeluruh, kaunter untung mengatasi kaunter rugi sebanyak 439 berbanding 314 dengan 315 kaunter tidak berubah, 1,337 tidak diniagakan dan tujuh yang lain digantung.
Jumlah dagangan sebanyak 516.03 juta unit bernilai RM378.70 juta.
Peniaga menyatakan bahawa penjualan semakin rancak apabila peniaga menggunakan pendekatan 'jual dahulu, fikir kemudian' dalam persekitaran kebimbangan kemelesetan di Amerika Syarikat.
Purata Perindustrian Dow Jones (DJIA) jatuh 1,034 mata manakala Nasdaq turun 576 mata, hasil 10 tahun AS jatuh kepada 3.778 peratus, menunjukkan paras terendah dalam tempoh 52 minggu.
Naib Presiden penyelidikan ekuiti Rakuten Trade Sdn Bhd, Thong Pak Leng berkata penjualan itu adalah keterlaluan kerana penilaian pasaran tidak seperti di Wall Street.
"Sejak dua hari lalu, nisbah harga kepada pendapatan pasaran menurun daripada 15.4 kali kepada 14.6 kali, memberikan peluang terbaik untuk pengumpulan nilai," katanya kepada Bernama.
Thong menjangkakan jualan hari ini tidak begitu tinggi kerana niaga hadapan Wall Street naik semula ketika berita ini ditulis, indeks dijangka berlegar dalam julat 1,500-1,550.
Semalam, pasaran global mengalami 'Black Monday' (kejatuhan pasaran saham dunia) apabila pasaran saham Jepun mencatatkan kejatuhan paling teruk sejak 1987, mencetuskan kebimbangan terhadap kegawatan global.
Pemangkin itu adalah kebimbangan terhadap kemelesetan AS berikutan laporan pekerjaan pada Julai yang lemah, menyaksikan kadar pengangguran meningkat kepada 4.3 peratus, paras tertinggi sejak Oktober 2021.
Sementara itu, senarai gaji bukan ladang AS meningkat hanya 114,000 bulan lepas, di bawah 179,000 yang disemak turubn pada Jun dan unjuran Dow Jones sebanyak 185,000.
Indeks Nikkei Jepun memperoleh semula momentum, meningkat 3,336.78 mata, atau 10.61 peratus, kepada 34,795.20 ketika berita ini ditulis.
Begitu juga Indeks Kospi Korea Selatan meningkat sebanyak 4.50 peratus kepada 2,551.50, dan Indeks STI Singapura mengukuh 0.75 peratus kepada 3,268.06.
Sebaliknya, Indeks Komposit BEI Indonesia merosot sebanyak 50.86 peratus kepada 7,059.65.
Dalam kalangan saham wajaran tinggi, Maybank berkurangan lima sen kepada RM9.85, Public Bank jatuh tiga sen kepada RM4.10, CIMB merosot 13 sen kepada RM6.88, IHH Healthcare menguncup empat sen kepada RM6.03, manakala Tenaga Nasional kekal tidak berubah pada RM13.16.
Daripada saham aktif, Talam jatuh 0.5 sen kepada dua sen, manakala MY E.G naik empat sen kepada 86.5 sen, TWL Holdings, Berjaya Corp and Velesto Energy menambah 0.5 sen masing-masing kepada tiga sen, 36.5 sen dan 20 sen.
Di papan indeks, Indeks FBM Emas menambah 29.52 mata kepada 11,635.43, Indeks FBMT 100 meningkat 26.26 mata mata kepada 11,298.62, Indeks FBM 70 susut 152.44 mata kepada 16,729.34, Indeks FBM ACE naik 66.01 mata kepada 5,021.09 dan Indeks FBM Emas Shariah menambah 78.39 mata kepada 11,747.27.
Mengikut sektor, Indeks Perkhidmatan Kewangan berkurangan 139.85 mata kepada 17,406.90, Indeks Tenaga melonjak 3.84 mata kepada 856.55, Indeks Perladangan meningkat 50.60 mata kepada 6,939.24, Indeks Teknologi menambah 0.97 mata kepada 65.78 dan Indeks Produk dan Perkhidmatan Perindustrian naik 1.13 mata to 172.26.
-- BERNAMA