Bursa Malaysia dibuka rendah

Bernama
Ogos 5, 2024 03:30 MYT
Pada 9.06 pagi, FTSE Bursa Malaysia KLCI (FBM KLCI) merosot 27.62 mata kepada 1,583.43 daripada 1,611.05 pada Jumaat lepas. -Gambar fail
KUALA LUMPUR: Bursa Malaysia dibuka rendah pada Isnin, menjejaki prestasi Wall Street yang lemah pada minggu lepas berikutan sentimen semakin merosot dengan kebimbangan mengenai kemelesetan dan data pekerjaan pada Julai 2024 yang lebih lemah daripada jangkaan, kata peniaga.
Pertumbuhan pekerjaan Amerika Syarikat (AS) lebih perlahan daripada jangkaan pada Julai manakala kadar pengangguran meningkat kepada 4.3 peratus berbanding 4.1 peratus pada Jun.
Pada 9.06 pagi, FTSE Bursa Malaysia KLCI (FBM KLCI) merosot 27.62 mata kepada 1,583.43 daripada 1,611.05 pada Jumaat lepas.
Indeks dibuka rendah 17.69 mata kepada 1,593.36.
Dalam pasaran secara menyeluruh, kaunter rugi mengatasi kaunter untung sebanyak 962 berbanding 30, dengan 137 kaunter tidak berubah, 1,276 tidak diniagakan dan lapan yang lain digantung.
Jumlah dagangan sebanyak 561.79 juta unit bernilai RM280.91 juta.
Sehubungan itu, Naib Presiden Penyelidikan Ekuiti Rakuten Trade Sdn Bhd Thong Pak Leng berkata Dow Jones Industrial Average (DJIA) merosot 611 mata manakala Nasdaq berkurangan 418 mata berikutan dana mengekalkan peralihan kepada bon, sekali gus mendorong hasil 10 tahun AS kepada paras terendah setakat ini pada tahun ini kepada 3.799 peratus.
"Dalam negara, FBM KLCI juga tidak terkecuali berikutan ia merosot kepada hanya melebihi paras 1,610 berikutan jualan di peringkat serantau.
"Kami percaya jualan sedemikian hanya menjadi reaksi segera berikutan peniaga mungkin melihat ini sebagai alasan untuk menyimpan keuntungan," katanya kepada Bernama.
Bagaimanapun, beliau berpendapat sentimen secara keseluruhan akan menjadi berhati-hati dan menjangka akan terdapat aktiviti belian saham pada harga rendah.
Dalam kalangan saham wajaran tinggi, Maybank dan CIMB, masing-masing merosot 10 sen kepada RM10.14 dan RM7.30, Public Bank berkurangan tujuh sen kepada RM4.21, Tenaga Nasional berkurangan 44 sen kepada RM13.52 dan IHH Healthcare turun satu sen kepada RM6.24.
Daripada saham aktif, Velesto Energy merosot satu sen kepada 20.5 sen, Aimflex susut 1.5 sen kepada 17 sen manakala EA Holdings, Widad dan Pegasus Heights, masing-masing tidak berubah pada setengah sen, lima sen dan satu sen.
Di papan indeks, Indeks FBM Emas merosot 301.30 mata kepada 12,002.20, Indeks FBMT 100 berkurangan 269.20 mata kepada 11,650.75, Indeks FBM 70 susut 643.26 mata kepada 17,259.54, Indeks FBM ACE jatuh 256.13 mata kepada 5,214.28 dan Indeks FBM Emas Shariah merosot 358.75 mata kepada 12,089.40.
Mengikut sektor, Indeks Perkhidmatan Kewangan berkurangan 236.35 mata kepada 17,995.23, Indeks Pembinaan merosot 15.58 mata kepada 269.44, Indeks Penjagaan Kesihatan susut 54.12 mata kepada 1,946.32 dan Indeks Perladangan turun 69.14 mata kepada 7,074.47.
-- BERNAMA
#Bursa Malaysia #fbm klci #Wall Street #kemelesetan dan data pekerjaan