Bursa Malaysia dibuka rendah

Bernama
Julai 22, 2024 03:20 MYT
Pada 9.10 pagi, FTSE Bursa Malaysia KLCI (FBM KLCI) merosot 3.41 mata kepada 1,633.14 daripada 1,636.55 pada Jumaat lepas. -Gambar fail/Bernama
KUALA LUMPUR: Bursa Malaysia memulakan minggu ini dengan mencatatkan penurunan, mencerminkan prestasi Wall Street yang kurang menggalakkan pada Jumaat lepas.
Pada 9.10 pagi, FTSE Bursa Malaysia KLCI (FBM KLCI) merosot 3.41 mata kepada 1,633.14 daripada 1,636.55 pada Jumaat lepas.
Indeks dibuka tinggi 0.57 mata kepada 1,637.12.
Dalam pasaran secara menyeluruh, kaunter rugi mengatasi kaunter untung sebanyak 355 berbanding 152, dengan 359 kaunter tidak berubah, 1,582 tidak diniagakan dan 16 yang lain digantung.
Jumlah dagangan sebanyak 405.01 juta unit bernilai RM165.01 juta.
Naib Presiden Penyelidikan Ekuiti Rakuten Trade Sdn Bhd Thong Pak Leng berkata Wall Street mengakhiri minggu lepas dengan sentimen lemah berikutan ketiga-tiga indeks utamanya merosot susulan peralihan kepada saham permodalan kecil.
"Walaupun dagangan tidak terjejas oleh penutupan teknologi maklumat (IT) global, penyebab utama, Crowdstrike, jatuh sebanyak 11.1 peratus.
"Dow Jones Industrial Average (DJIA) merosot 377 mata manakala Nasdaq berkurangan 144 mata, dengan hasil 10 tahun Amerika Syarikat (AS) naik kepada 4.24 peratus," katanya kepada Bernama.
Beliau berkata dalam negara, walaupun terdapat pergolakan di peringkat serantau, FBM KLCI ditutup pada satu lagi paras tertinggi setakat ini pada tahun ini berikutan momentum belian yang kekal utuh dengan terdapat aktiviti pengambilan untung.
"Bagaimanapun, kami mendapati jumlah dagangan harian yang diniagakan merosot dengan ketara kepada di bawah 4.5 bilion saham pada Jumaat, menunjukkan pasaran terus berhati-hati.
"Walaupun Wall Street lembap, kami percaya dagangan di bursa tempatan akan kekal positif berikutan peralihan berterusan oleh dana asing dijangka memberi kesan limpahan kepada rantau ini, termasuk Malaysia," katanya.
Oleh itu, Thong menjangka indeks utama tempatan akan bergerak dalam julat 1,630-1,640 hari ini.
Dalam kalangan saham wajaran tinggi, CIMB Group menambah 2.0 sen kepada RM7.17 dan IHH Healthcare naik 6.0 sen kepada RM6.39.
Sementara itu, Tenaga Nasional merosot 4.0 sen kepada RM14.40, Public Bank berkurangan 1.0 sen kepada RM4.23 dan Maybank tidak berubah pada RM10.10.
Dalam kalangan saham aktif, BWYS Group yang mula disenaraikan di Pasaran ACE naik 13.5 sen kepada 35.5 sen, Securemetric Bhd meningkat 1.5 sen kepada 24 sen serta Ingenieur Gudang dan Aneka Jaringan Holdings, masing-masing menambah setengah sen kepada 5.5 sen dan 19.5 sen manakala MY E.G. Services tidak berubah pada 98.5 sen.
Di papan indeks, Indeks FBM Emas merosot 27.18 mata kepada 12,632.08, Indeks FBMT 100 berkurangan 25.90 mata kepada 12,206.52, Indeks FBM Emas Shariah susut 36.88 mata kepada 13,000.22 dan Indeks FBM 70 jatuh 41.17 mata kepada 18,786.84 manakala Indeks FBM ACE naik 14.13 mata kepada 5,948.34.
Mengikut sektor, Indeks Perkhidmatan Kewangan meningkat 3.33 mata kepada 17,976.11 dan Indeks Penjagaan Kesihatan naik 1.85 mata kepada 2,182.79 manakala Indeks Pembinaan merosot 0.51 mata kepada 314.19 dan Indeks Perladangan susut 3.52 mata kepada 7,221.33.
-- BERNAMA
#Bursa Malaysia #fbm klci #Wall Street #kaunter untung