Bursa Malaysia dibuka meningkat, jejak kenaikan di Wall Street

Bernama
Julai 11, 2024 11:20 MYT
Pada 9.24 pagi, indeks petunjuk utama FTSE Bursa Malaysia KLCI (FBM KLCI) naik sebanyak 6.90 mata kepada 1,625.28 daripada paras penutup semalam pada 1,618.38. -Gambar fail/Bernama
KUALA LUMPUR: Bursa Malaysia meneruskan momentum aliran peningkatannya pada awal dagangan Khamis, di tengah-tengah minat risiko global yang ketara selepas Wall Street mencatat satu lagi kenaikan tertingginya.
Pada 9.24 pagi, indeks petunjuk utama FTSE Bursa Malaysia KLCI (FBM KLCI) naik sebanyak 6.90 mata kepada 1,625.28 daripada paras penutup semalam pada 1,618.38.
Indeks penanda aras itu dibuka menokok 2.78 mata kepada 1,621.16.
Di pasaran meluas, kaunter untung mengatasi rugi pada 412 berbanding 191 manakala 371 kaunter tidak berubah, 1,457 tidak diniagakan dan tujuh lain digantung dagangannya.
Jumlah dagangan sebanyak 562.16 juta unit bernilai RM279.35 juta.
Sementara itu Naib Presiden Penyelidikan Ekuiti Rakuten Trade Sdn Bhd Thong Pak Leng berkata semalam menyaksikan Wall Street mengulangi peningkatan tertingginya, didorong oleh lonjakan saham-saham teknologi.
Perkembangan itu berlaku ketika peniaga kekal optimis bahawa Rizab Persekutuan Amerika Syarikat (AS) akan bertindak melaras kadar dasarnya pada September menjelang data inflasi baharu dalam tempoh dua hari akan datang.
"Berikutan itu, Dow Jones meraih 429 mata manakala Nasdaq melonjak 218 mata apabila hasil Perbendaharaan 10 tahun AS ditutup lebih rendah pada 4.281 peratus," katanya.
Di peringkat domestik, dalam senario sentimen yang kekal berhati-hati berikutan jumlah dagangan harian yang susut ke bawah paras lima bilion saham sejak beberapa hari lepas, sebaliknya berubah apabila aktiviti perdagangan dijangka bertambah baik dan menjejaki peningkatan kukuh di Wall Street.
Sehubungan itu, Thong menjangkakan indeks itu akan bergerak dalam julat 1,620 hingga 1,630 pada hari ini ketika pasaran menunggu keputusan Bank Negara Malaysia mengenai Kadar Dasar Semalaman (OPR) terbaharu, petang ini.
Dalam pada itu, saham wajaran tinggi Bursa Malaysia kebanyakannya berada dalam wilayah positif kecuali Press Metal dan KLK.
Maybank misalnya naik empat sen kepada RM10.06 manakala Tenaga Nasional, Public Bank dan IHH Healthcare masing-masing tidak berubah pada RM14.40, RM4.14 dan RM6.30 manakala CIMB menokok tujuh sen kepada RM7.16.
Kaunter paling aktif menyaksikan kaunter berkaitan teknologi terus mendominasi dengan Techbase Industries naik 1.5 sen pada 23 sen, Cabnet melonjak 6.5 sen kepada 76.5 sen, Dataprep sebaliknya susut satu sen kepada 23.5 sen dan Nova MSC turun dua sen kepada 25 sen.
Di papan indeks, prestasi Indeks FBM Emas menambah 66.86 mata kepada 12,577.24, Indeks FBMT 100 menokok 64.72 mata kepada 12,150.63, Indeks FBM Emas Syariah meraih 73.13 mata kepada 12,930.39, Indeks FBM 70 melonjak 147.59 mata kepada 18,711.12 dan Indeks FBM ACE meningkat 20.33 mata kepada 5,994.91.
Bagi sektor pula, Indeks Perkhidmatan Kewangan naik 89.64 mata kepada 17,838.45, Indeks Perladangan menokok 5.23 mata kepada 6,963.20, Indeks Produk dan Perkhidmatan Perindustrian meraih 0.44 mata kepada 200.50 manakala Indeks Tenaga berkurangan 2.54 mata kepada 982.41.
-- BERNAMA
#Bursa Malaysia #fbm klci #Wall Street #Rizab Persekutuan Amerika Syarikat