Bursa Malaysia akhiri penyusutan enam hari, indeks komposit naik 8.86 mata

Bernama
September 10, 2024 21:49 MYT
Pada 5 petang, indeks petunjuk utama FBM KLCI naik 8.86 mata atau 0.54 peratus kepada 1,660.35 berbanding 1,651.49 pada akhir dagangan semalam. - Gambar fail/Bernama
KUALA LUMPUR: Bursa Malaysia yang susut selama enam hari berturut-turut sebelum ini, mengakhiri dagangan Selasa dengan lebih tinggi susulan aktiviti belian dan sentimen positif merentasi pasaran utama Asia, dipacu data ekonomi China lebih kukuh selain keuntungan Wall Street.
Pada 5 petang, indeks petunjuk utama FTSE Bursa Malaysia KLCI (FBM KLCI) naik 8.86 mata atau 0.54 peratus kepada 1,660.35 berbanding 1,651.49 pada akhir dagangan semalam.
Indeks itu dibuka susut 2.31 mata pada 1,653.80 dan bergerak turun naik dalam julat 1,649.53 hingga 1,661.09 sepanjang sesi dagangan hari ini.
Pasaran secara meluas bercampur-campur dengan kaunter rugi mengatasi untung iaitu 501 berbanding 479 manakala 520 lain tidak berubah, 955 tidak didagangkan dan enam digantung dagangannya.
Jumlah dagangan susut kepada 3.05 bilion unit bernilai RM3.78 bilion daripada 3.38 bilion unit bernilai RM3.85 bilion, semalam.
Naib Presiden Penyelidikan Ekuiti Rakuten Trade Sdn Bhd Thong Pak Leng berkata data ekonomi China yang positif serta keuntungan diraih Wall Street mempengaruhi dagangan hari ini apabila eksport China meningkat 8.7 peratus manakala import naik 0.5 peratus pada Ogos yang mengatasi unjuran masing-masing pada 6.5 peratus dan 2.0 peratus.
"Walaupun keadaan pasaran bertambah baik, kami kekal optimis namun berhati-hati terhadap (prospek) pasaran tempatan berikutan jumlah dagangan berkurangan serta jangkaan pelabur yang berubah.
"Kami menjangkakan FBM KLCI menyaksikan urus niaga mendatar dalam julat 1,650-1,670 sehinggalah terdapat petunjuk jelas dan pasti mengenai pengurangan kadar faedah di Amerika Syarikat (AS)," katanya kepada Bernama.
Sementara itu, Ketua Penyelidikan Pelaburan UOB Kay Hian Wealth Advisors Mohd Sedek Jantan berkata prestasi Bursa Malaysia juga memaparkan pemulihan Wall Street, didorong oleh aktiviti memburu saham-saham berharga rendah menjelang pengumuman mengenai data utama inflasi.
"Bagaimanapun, Indeks Modal Kecil bursa terus susut untuk satu lagi sesi. Susulan pemulihan saham teknologi Amerika Syarikat (AS), kami menjangkakan pelabur akan mencari peluang dalam jualan saham berkenaan yang berlebihan di peringkat tempatan," katanya.
Prestasi FBM KLCI hari ini menyaksikan kaunter untung didahului oleh saham telekomunikasi, penjagaan kesihatan dan perbankan.
Mohd Sedek berkata pelabur tempatan dan asing juga lebih cenderung mengutamakan saham yang asasnya kukuh, terutama sektor kewangan di tengah-tengah ketidaktentuan pasaran semasa.
Beliau juga menyifatkan Indeks Perkhidmatan Kewangan Bursa Malaysia mempamerkan pertumbuhan kukuh sejak aktiviti jualan pada 5 Ogos dan terus meningkat melebihi 12 peratus sejak tarikh berkenaan.
"Dalam jangka pendek, indeks FBM KLCI dijangka kekal berhati-hati apabila minat terhadap risiko semakin menipis menjelang pengumuman Indehs Harga Pengguna AS pada Rabu.
"Di peringkat domestik, aliran masuk dana asing yang berterusan ke dalam saham-saham sektor perbankan dijangka dapat menampung penyusutan indeks bagi saham-saham mewah," katanya.
Pada masa sama susulan pengukuhan ringgit, pihaknya mengekalkan prospek positif terhadap sektor pengguna manakala momentum peningkatan turut dilihat dalam sektor pembinaan, utiliti, minyak dan gas serta tenaga boleh baharu, katanya.
Dalam pada itu, saham wajaran tinggi menyaksikan CIMB muncul kaunter paling untung, melonjak 21 sen kepada RM8.49 manakala IHH Healthcare menokok 14 sen kepada RM6.86, Axiata naik 10 sen kepada RM2.52, Hong Leong Bank meraih 36 sen kepada RM21.30 dan Maybank menambah empat sen kepada RM10.94.
Globetronics pula menjadi saham paling aktif apabila susut 26 sen kepada 54 sen manakala waran TWL Holdings tidak berubah pada setengah sen, 99 Speed Mart dan Alpha IVF pula masing-masing naik satu sen kepada RM1.89 dan 34 sen.
Di papan indeks pula, Indeks FBM Emas naik 49.55 mata kepada 12,299.84, Indeks FBM Emas Shariah menokok 6.87 mata kepada 12,008.21 dan Indeks FBMT 100 meningkat 57.76 mata kepada 12,020.31.
Indeks FBM 70 pula melonjak 57.98 mata kepada 17,079.33 dan Indeks FBM ACE turun 17.09 mata kepada 5,038.96.
Mengikut sektor, Indeks Perkhidmatan Kewangan melonjak 197.27 mata kepada 19,931.13, Indeks Tenaga naik 1.74 mata kepada 859.61 dan Indeks Perladangan menokok 62.02 mata kepada 7,228.82.
Indeks Produk dan Perkhidmatan Perindustrian bagaimanapun turun 1.27 mata kepada 171.99.
Di Pasaran Utama, jumlah dagangan menguncup kepada 1.88 bilion unit bernilai RM3.57 bilion daripada 2.20 bilion unit bernilai RM3.64 bilion, semalam.
Waran meningkat kepada 772.11 juta unit bernilai RM82.16 juta daripada 705.37 juta unit bernilai RM74.41 juta sebelum ini.
Jumlah dagangan di Pasaran ACE berkurangan kepada 402.39 juta unit bernilai RM136.17 juta berbanding 468.17 juta unit bernilai RM135.1 juta, sebelum ini.
Selain itu, kaunter produk dan perkhidmatan pengguna menyumbang sebanyak 259.45 juta saham yang didagangkan di Pasaran Utama manakala produk dan perkhidmatan perindustrian (344.05 juta), pembinaan (215.4 juta), teknologi (302.1 juta), SPAC (sifar), perkhidmatan kewangan (193.19 juta), hartanah (222.12 juta), perladangan (16.87 juta), REIT (16.24 juta), dana tertutup (3,200), tenaga (104.64 juta), penjagaan kesihatan (48.88 juta), telekomunikasi dan media (33.7 juta), pengangkutan dan logistik (33.87 juta), utiliti (87.82 juta) serta amanah perniagaan (108,200).
-- BERNAMA
#Bursa Malaysia #fbm klci #Wall Street #Inflasi
;