Bursa Dow Jones menjunam lagi, terus cetus panik di kalangan pelabur

Agensi
Februari 8, 2018 07:52 MYT
Selepas merekodkan keuntungan besar dalam minggu-minggu pertama tahun ini, bursa saham AS mula menjunam sejak Jumaat minggu lepas. - Gambar fail
Prestasi pasaran saham Amerika Syarikat (AS) yang terus menjunam pada Khamis mula mencetuskan panik dalam kalangan pelabur.
Buat kali kedua dalam tempoh empat hari Indeks Dow Jones kehilangan lebih 1,000 mata.
Kejatuhan saham AS sejak Isnin lalu itu dicetuskan oleh kebimbangan pelabur akan berlakunya kemungkinan peningkatan inflasi.
Selepas merekodkan keuntungan besar dalam minggu-minggu pertama tahun ini, bursa saham AS mula menjunam sejak Jumaat minggu lepas.
Ia susulan kenyataan Jabatan Buruh yang upah pekerja meningkat ketara pada Januari.
Walaupun ia baik untuk ekonomi, namun pelabur bimbang keuntungan syarikat bakal terjejas, malah peningkatan upah adalah petanda kepada inflasi.
Faktor peluang pekerjaan meningkat serta kadar bayaran gaji bertambah, boleh mendorong Rizab Persekutuan negara itu mengenakan kenaikan kadar faedah.
Menurut penganalisis, tiada faktor besar yang mempengaruhi kejatuhan saham kecuali kekhuatiran terhadap kadar faedah.
Sejak Donald Trump menjadi Presiden, Indeks Dow Jones mengalami peningkatan sebanyak 6,884 mata ke paras tertinggi 25,520.96 mata pada 26 Januari 2018 yang lepas sebelum mencatatkan penurunan drastik 2 dan 5 Februari lalu.
#bursa saham AS #Dow Jones #panik #pelabur
;