Bukan hanya angka KDNK, tapi ia perlu dirasai oleh rakyat - Rafizi

Astro Awani
Februari 9, 2023 12:58 MYT
Rafizi ketika menyampaikan ucapan pelancaran Tinjauan Ekonomi Bank Dunia-Malaysia Edisi Februari 2023 pada Khamis. - Foto Astro AWANI/Shahir Omar
KUALA LUMPUR: Kerajaan akan memastikan angka pertumbuhan ekonomi yang baik dapat diterjemahkan dan dirasai oleh semua rakyat.
Menteri Ekonomi, Rafizi Ramli berkata Malaysia memerlukan anjakan besar bukan sahaja di peringkat kerajaan tetapi juga dalam kalangan sektor swasta dan masyarakat.
"Kita semua perlu melalui banyak perubahan dan mempercepatkannya selain menerima perubahan ini agar kita tidak hanya mampu menghadapi cabaran, tetapi yang lebih penting, merealisasikan banyak potensi yang belum dipenuhi dalam negara," katanya.
Beliau berkata demikian ketika menyampaikan ucapan pelancaran Tinjauan Ekonomi Bank Dunia-Malaysia Edisi Februari 2023 pada Khamis.
Malaysia dijangka mencatat pertumbuhan Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) antara 4.0 dan 5.0 peratus pada tahun ini.
Sementara itu, mengulas berkenaan Belanjawan 2023, beliau berkata akan lebih banyak peruntukan diberikan kepada sektor pertanian bagi mencapai hasrat tersebut.
''Terdapat keperluan untuk memastikan pemulihan ekonomi dapat mengatasi krisis makanan ke atas isi rumah yang mudah terjejas berikutan kesan pandemik yang berlarutan sehinggalah kepada ketegangan geopolitik yang berpanjangan.
''Kami berharap dapat berkongsi dalam beberapa minggu dan bulan akan datang beberapa penempatan semula sumber,'' katanya.
Beliau pada masa sama berharap penambahbaikan seterusnya dalam perbelanjaan domestik dan pasaran buruh akan membolehkan negara mula meletakkan dasar untuk meningkatkan peningkatan gaji/upah pada masa hadapan.
Namun begitu, beliau berkata risiko luaran akan berterusan muncul melalui gangguan dalam rantaian bekalan global.
“Kebimbangan besar saya ialah kita perlu menyedari akan permintaan global yang berkurangan dan kita masih tidak tahu apakah kesan kelembapan ketara di China.
''Tetapi, saya berpendapat kita berada dalam kedudukan yang baik. Walaupun kita sedar sepenuhnya tentang kelembapan ekonomi, terdapat juga beberapa potensi yang belum diterokai yang memberikan kita sedikit penampan,'' katanya.
#Keluaran Dalam Negara Kasar #Rafizi Ramli #KDNK #kemakmuran rakyat
;