Budaya berbeza punca AS sekat produk sawit Malaysia - Ketua Pengarah MPOB
Najib Aroff
Disember 31, 2020 13:17 MYT
Disember 31, 2020 13:17 MYT
KUALA LUMPUR: Perbezaan budaya dan cara kerja menjadi antara sebab Agensi Perlindungan Kastam dan Sempadan (CBP) Amerika Syarikat (AS) mengharamkan produk sawit dari dua syarikat Malaysia, kata Ketua Pengarah Lembaga Minyak Sawit Malaysia (MPOB) Dr Ahmad Parveez Ghulam Kadir.
Menurutnya definisi buruh paksa yang ditakrifkan Amerika Syarikat mungkin berbeza dengan Malaysia sekaligus mencetuskan salah faham.
Ini kerana amalan anak membantu ibu bapa sudah menjadi amalan lazim di kebanyakan ladang sawit Malaysia sejak sekian lama.
"Setiap kali cuti persekolahan di kawasan seperti Felda dan kebun kecil, mungkin itu amalan biasa.
"Namun ada artikel yang disiarkan sebelum ini berkaitan isu buruh industri sawit di Indonesia dan Malaysia yang mana sepatutnya anak-anak berada di sekolah untuk mengubah nasib keluarga tetapi berada di ladang.
"Kita perlu fahami mungkin ada pihak yang menggunakan isu ini sebagai propaganda mereka. Kita kalau boleh elak perkara tersebut daripada terus berlaku kerana pihak NGO berkaitan boleh mengambil kesempatan tersebut seolah-olah berlakunya penggunaan buruh kanak-kanak," katanya ketika dihubungi Astro AWANI.
CBP pada Rabu menyekat import produk sawit daripada Sime Darby Plantation Bhd susulan dakwaan terdapat 11 tanda buruh paksa seperti digariskan Organisasi Buruh Antarabangsa (ILO) dilanggar syarikat itu.
Tindakan itu menyusul selepas produk FGV turut disekat pada Oktober lepas atas dakwaan sama.
Sehubungan itu Dr Ahmad berkata tindakan CBP itu tidak boleh dipandang mudah dan harus diselesaikan segera.
"Walaupun kedudukan AS (sebagai pengimport sawit) adalah ke-15 sekali pun, amat penting kita kekalkan semua pasaran kita di dunia ini kerana benda kecil boleh merebak menjadi besar," katanya.
Untuk rekod AS ketika ini merupakan pengimport ke-8 terbesar minyak sawit Malaysia.
Sehubungan itu Dr Ahmad yakin Sime Darby Plantation Bhd akan mengambil langkah berpatutan bagi mengembalikan keyakinan terhadap produk mereka.
"Selain perhubungan syarikat Malaysia secara langsung bersama CBP, kita juga telah menganjurkan jerayawara (road show) sejak Ogos lepas untuk mengupas isu buruh ini.
"Ramai tidak faham isu buruh ini kerana apa yang kita lakukan mungkin selaras dengan apa yang kita perlukan, tetapi di negara seperti AS mereka ada undang-undang buruh tersendiri dimana cara mereka tafsir buruh paksa tidak sama dengan kita.
"Mungkin ada tindakan yang pada kita normal dan tidak libatkan buruh paksa tetapi pada mereka ia tindakan yang boleh dikaitkan sebagai buruh paksa," katanya.
#Felda
#Sime Darby
#NGO
#FGV
#minyak sawit
#sawit
#industri sawit
#CBP
#CBP haramkan produk sawit
#Sime Darby Plantation Bhd
#Dr Ahmad Parveez