Buat keputusan rasional dalam pembelian EHP oleh FGV
Bernama
Ogos 6, 2015 23:00 MYT
Ogos 6, 2015 23:00 MYT
Perdana Menteri menasihatkan komuniti serta pemegang saham Felda Global Venture Holdings Berhad (FGV) membuat keputusan rasional berkaitan pembelian PT Eagle High Plantation (EHP) di Indonesia.
Datuk Seri Najib Razak berkata rancangan itu adalah bagi masa depan Felda dan komunitinya melalui strategi melangkaui sempadan negara.
Mesyuarat Agung Luar Biasa (EGM) FGV Ogos ini akan menentukan kelulusan pengambilalihan tersebut.
Najib berkata sebagai menunaikan tanggungjawabnya, FGV telah membentangkan segala butiran dengan jelas tentang rancangan kerjasama tersebut.
"Akhirnya terpulang kepada pemilik saham untuk membuat keputusan... tapi fikirlah secara waras dan rasional.
"Jangan terbawa-bawa dengan hasutan mana-mana pihak sehingga yang baik jadi tak baik, yang hak menjadi batil," katanya ketika berucap pada majlis Salam Perantauan Warga Felda di sini hari ini.
Najib, yang juga Menteri Kewangan, mengingatkan bahawa kesilapan dalam membuat keputusan akan menyebabkan peluang keemasan yang sukar diperoleh terlepas dan mungkin tidak akan didapati lagi pada masa akan datang.
"Jangan biarkan apa yang kita bina selama ini musnah kerana tak buat apa yang patut untuk pertahankan. Marilah kita pertahankan kejayaan Felda demi anak cucu kita," katanya.
Menjelas lanjut Najib berkata kerajaan sedang meneliti secara terperinci rancangan kerjasama antara FGV dengan EHP itu dan mahu satu formula yang menguntungkan kedua-dua pihak diwujudkan.
"Saya yakin dan percaya kalau dapat satu formula yang menguntungkan, maka FGV dan masyarakat Felda boleh mengaut keuntungan yang besar.
"Harga yang kita tentukan kalau setuju, boleh kita pertahankan," katanya.
Perdana Menteri berkata untuk terus mengubah kualiti hidup masyarakat Felda, pasaran yang menjangkaui sempadan negara amat perlu, termasuk kawasan ladang yang besar selain tanah yang subur.
"Kita ada kekuatan dan kekurangan, maka kekurangan FGV ditampung melalui usaha sama dengan EHP ini," katanya.
Pada Jun lepas, FGV mengumumkan ia telah memeterai perjanjian induk dengan Rajawali Group untuk membeli kepentingan dalam EHP pada harga US$680 juta dalam bentuk tunai dan saham.
Ini akan menyaksikan Rajawali Group memiliki 2.6 peratus asas saham FGV yang diperbesarkan.
FGV juga akan mengambil alih antara 93 dan 95 peratus kepentingan dalam projek gula Rajawali Group dengan nilai AS$67 juta.
Kepentingan dalam EHP dan projek gula Rajawali Group akan dipegang oleh FGV Kalimantan Sdn Bhd, sebuah unit FGV.