Buang petak 'Bangsa-bangsa Lain', kita semua Keluarga Malaysia
September 16, 2021 16:17 MYT
28 etnik di Sarawak
Di Sarawak terdapat 28 etnik, dengan etnik terbesar ialah Iban, sebanyak 30%, diikuti Cina 24%, Melayu 23%, Bidayuh 8%, Melanau 6% dan Orang Ulu 5%.33 etnik di Sabah
Sabah mempunyai 33 kaum seperti Kadazandusun, Murut, Bajau dan Rungus. Sabah yang juga dikenali sebagai Negeri Di Bawah Bayu merupakan negeri kedua terbesar di Malaysia dengan kawasan menjangkau 72,000 kilometer persegi.Selain mempunyai 33 senarai etnik, penduduk di negeri ini juga berkomunikasi dalam 50 bahasa dan 80 dialek yang berbeza.
Senarai etnik di Sabah adalah Kadazandusun, Rungus, Bajau, Melayu Brunei, Murut, Orang Sungei, Iranun, Bonggi, Kwijau, Paitan, Lun Bawang, Lundayeh, Kedayan, Suluk, Iban, Binadan, Bisaya, Kokos, Rumanau, Lotud, Minokok, Tidung, Rungusĺ, Kagayan, Tatana, Tagaas, Ubian, Kimaragang, Bajau Laut, Ida’an, Inokang dan Sonsogon.
Contoh kaum kecil dalam etnik ini adalah seperti Dusun Liwan, Dusun Tindal, Dusun Pahu, Dusun Lotud, Bagahak, Dusun Labuk, Dusun Kimaragang, Tagahas, Tangara, Dusun, Orang Sungai, Kuijau, Tambanuo, dan banyak lagi.
Kumpulan etnik kedua terbesar di Sabah adalah Bajau, atau juga dikenali sebagai ‘Koboi Timur’. Kumpulan etnik ketiga terbesar di Sabah adalah Murut, iaitu orang-orang bukit dan pemburu kepala pada masa lalu.
Orang Cina juga termasuk dalam kumpulan utama bagi penduduk bukan pribumi. Perkahwinan antara kaum Cina dan Kadazan-Dusun juga mewujudkan masyarakat baru yang lebih dikenali sebagai Sino.
Bangsa Lain-lain
Perjuangan untuk membetulkan keadaan sudah berlaku sekian lama dan membuktikan keprihatinan dan sensitiviti terhadap aspirasi dan sentimen penduduk di kedua-dua negeri.
Dengan mengkategorikan mereka sebagai 'lain-lain,' seolah-olah mereka ialah rakyat asing, tidak penting, pinggiran dan rakyat kelas dua.
Masyarakat Sarawak mempunyai identiti dan budaya tersendiri serta tidak harus dilihat sebagai 'lain-lain'. Orang Sarawak bukan 'lain-lain,' tetapi manusia yang sama rakyat Malaysia.
Mereka anak Sarawak berbilang etnik dengan budaya dan warisan masing-masing yang mesti dipelihara. Baru boleh menulis Bumiputera Iban, Bumiputera Bidayuh, Bumiputera Melanau dan Bumiputera Orang Ulu dalam ruangan kaum.
Kita mesti memberi pengiktirafan sewajarnya terhadap penduduk di Sarawak dan Sabah dengan tidak menganggap etnik sebagai 'lain-lain'. Untuk hal yang berkaitan dengan kategori kaum membabitkan borang rasmi.
Perincian terhadap etnik di Sarawak dan Sabah mesti dinyatakan dengan terang bagi memudahkan pengenalan kerana setiap etnik bangga dengan jati diri masing-masing yang lebih penting.
Bagi rakyat Malaysia adalah tidak adil untuk rakyat Bumiputera dikategorikan sebagai "lain-lain" dalam borang. Seolah-olah rakyat Sarawak dan Sabah tidak mempunyai taraf yang sama seperti kaum lain di Malaysia.
Keluarga Malaysia
Kita keluarga Malaysia dengan pelbagai etnik yang konsep keterangkuman perlu direalisasikan dan dihidupkan. Tidak lagi slogan dan beragenda politik. Langkah yang boleh menyebabkan semua etnik benar-benar diterima sebagai rakyat Malaysia.
Masyarakat dominan dan majoriti tidak terasa dan tidak peduli dengan borang-borang yang diisi. Untuk etnik terbabit bagai dilayan dengan kelas dua dan dipinggirkan.
Marilah kita mengiktiraf semua etnik Bumiputera Sabah dan Sarawak sebagai ahli keluarga Malaysia dan satu daripada rumpun bangsa utama di Malaysia. Kita menuju ke arah yang betul dalam pembentukan sebuah negara bangsa yang unik.
Artikel asal diterbitkan di portal DagangNews.com