BSN tiada rancangan kurangkan cawangan, pekerja

Shahrul Hassan
Mac 12, 2017 09:38 MYT
Pengerusi Bank Simpanan Nasional (BSN) Tan Sri Abu Bakar Abdullah menerima cenderahati daripada Ketua Eksekutif BSN Datuk Adinan Maning (kiri) pada majlis Perasmian Bangunan Cawangan Utama BSN Johor di Jalan Abdullah Ibrahim hari ini. - Foto Bernama
Bank Simpanan Nasional (BSN) tidak mempunyai sebarang rancangan untuk mengurangkan jumlah cawangan dan pekerjanya di seluruh negara biarpun berdepan keadaan ekonomi tidak menentu ketika ini.
Ketua Eksekutifnya, Datuk Adinan Maning berkata, BSN diwujudkan adalah untuk memberi perkhidmatan perbankan kepada orang awam dan tidak hanya tertumpu kepada keuntungan semata-mata.
BSN sebaliknya akan terus mengekalkan 403 cawangan di seluruh negara dengan 7,200 pegawai dan kakitangan akan terus memberi perkhidmatan kepada orang ramai.
"Buat masa ini kita tidak mempunyai apa-apa rancangan untuk mengurangkan cawangan dan pekerja.
"Kita mahu menyediakan perkhidmatan perbankan dan pembiayaan kepada masyarakat dan bukannya bergantung kepada keuntungan semata-mata," katanya kepada pemberita selepas majlis perasmian bangunan baharu Cawangan Utama BSN Johor di Jalan Abdullah Ibrahim, di sini hari ini.
Katanya lagi, BSN juga bercadang untuk memperbanyakkan lagi ejen bank BSN di seluruh negara.
Setakat Februari, sebanyak 7,000 ejen BSN didaftarkan dan pihaknya mensasarkan untuk menambah kira-kira 500 hingga 1,000 ejen pada tahun ini.
Majlis Perasmian Bangunan Cawangan Utama BSN negeri Johor di Johor Baharu hari in dirasmikan oleh pengerusi BSN Tan Sri Abu Bakar Abdullah.
Bangunan 12 tingkat yang bernilai 60 juta ringgit itu dinamakan Wisma Muafakat.
Pada masa kini BSN mempunyai 9.19 juta pemegang akaun di seluruh negara dengan pendeposit runcit berjumlah RM14.76 bilion setakat Januari tahun ini.
Jumlah pendeposit BSN meningkat 50,000 hingga 100,000 orang setahun dengan majoritinya adalah murid sekolah.
#Adinan Maning #Bank Simpanan Nasional #BSN #Wisma Muafakat