BSN rai 50 tahun dengan komuniti melalui Inisiatif “BSN Care 50 Hari Memberi”
Amzar Alif
Disember 9, 2024 17:50 MYT
Disember 9, 2024 17:50 MYT
KUALA LUMPUR: Bank Simpanan Nasional (BSN) menyambut ulang tahun ke-50 dengan pendekatan bermakna melalui inisiatif “BSN Care 50 Hari Memberi”, menampilkan lebih daripada 50 program tanggungjawab sosial korporat (CSR) di seluruh negara.
Menurut Ketua Eksekutif BSN, Jay Khairil, inisiatif tersebut merupakan antara usaha institusi perbankan itu untuk menyumbang kembali kepada komuniti yang selama ini setia menyokong BSN sepanjang lima dekad.
Langkah ini selaras dengan semangat sambutan ulang tahun BSN yang ke-50, yang mengutamakan kepentingan hubungan erat dengan masyarakat.
“Bertemakan ‘BSN Care 50 Hari Memberi’ atau ‘50 Days of Giving’, kami telah melaksanakan hampir 50 atau lebih program CSR di seluruh negara untuk meraikan pencapaian BSN bersama komuniti. Lebih istimewa, kesemua 7,500 warga BSN turut mengambil bahagian dalam program ini,” katanya.
Program CSR ini menyasarkan golongan kurang bernasib baik, termasuk gelandangan serta keluarga yang menghadapi cabaran ekonomi.
Jelasnya, selain usaha sosial, BSN turut memberi fokus kepada usaha pendigitalan untuk memenuhi keperluan pelanggan di era moden.
“Kami terus mempelbagaikan produk, saluran, dan penyampaian kami untuk memastikan BSN kekal relevan. Pendigitalan adalah keutamaan kami untuk terus bersaing dalam persekitaran teknologi masa kini,” tambah beliau.
Sambutan ulang tahun ke-50 BSN disempurnakan di Malaysia International Trade and Exhibition Centre (MITEC) dengan kehadiran lebih 1,000 tetamu.
Turut hadir ialah Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi, yang juga pernah berkhidmat sebagai pegawai dan pengerusi BSN.
Langkah proaktif BSN ini mencerminkan usaha institusi perbankan tersebut untuk terus relevan dalam memenuhi keperluan komuniti dan pelanggan, sambil memperkukuhkan komitmen mereka terhadap pembangunan masyarakat dan pendigitalan.