BSN perketat pinjaman kepada pekerja sektor minyak dan gas
Najib Aroff
Januari 21, 2016 14:54 MYT
Januari 21, 2016 14:54 MYT
Bank Simpanan Nasional (BSN) dilapor mengetatkan syarat pinjaman baharu terhadap kakitangan syarikat dalam sektor minyak dan gas.
Menurut laporan The Rakyat Post, satu memo dikeluarkan kepada unit operasi BSN malam Selasa dan berkuat kuasa serta merta kepada semua kakitangan syarikat minyak dan gas.
BSN ketika dihubungi Astro AWANI mengesahkan pengedaran memo tersebut namun ia bagi tujuan makluman dalaman.
Bagaimanapun pengantungan itu hanya bersifat sementara dan ia dibuat oleh jawatankuasa pengurusan pada Isnin atas alasan risiko yang tinggi terhadap pinjaman kepada pemohon yang bekerja dengan syarikat minyak dan gas.
"Ia susulan kejatuhan harga minyak dan kawalan kos yang dilakukan syarikat minyak utama."
Menurut laporan itu, arahan dalaman penggantungan pinjaman itu terpakai mengikut kes tertentu, bergantung kepada kemampuan kredit pemohon.
Permohonan bagi pinjaman peribadi, kad kredit, dan sewa beli akan ditolak namun pinjaman perumahan akan diproses seperti biasa.
Laporan itu berkata memo BSN menyebut pengecualian diberikan kepada pekerja bukan kontrak Petronas, namun masih tertakluk kepada kelulusan ibu pejabat BSN.