Briyani ayam masala mentega, muruku hidangan dalam penerbangan AirAsia sempena Deepavali
Bernama
September 30, 2016 08:00 MYT
September 30, 2016 08:00 MYT
Briyani Ayam Masala Mentega akan menjadi satu daripada hidangan baharu dalam menu penerbangan AirAsia selain Muruku, snek kegemaran rakyat Malaysia yang ditawarkan sempena sambutan Deepavali.
Syarikat penerbangan itu dalam satu kenyataan berkata, Anggota BIG AirAsia yang menaiki penerbangan AirAsia (AK) yang membuat pra tempahan Briyani ayam atau Briyani Sayur Kabali dari sekarang sehingga 29 Okt dan melakukan perjalanan dari 20 Okt hingga 31 Dis akan diberi 100 mata ganjaran BIG AirAsia manakala pra tempahan mana-mana hidangan akan mendapat 50 mata BIG AirAsia.
"Briyani Ayam Masala Mentega Ashok juga boleh didapati dalam semua penerbangan Malaysia AirAsia X (Kod Penerbangan D7) bersama menu lain seperti Roti Prata dengan Kari Ayam, serta idli dengan Sambar yang dihidangkan bersama Kesari bagi destinasi terpilih bermula 15 Okt," kata kenyataan itu.
Sementara itu, Ketua Komersial AirAsia Berhad, Spencer Lee berkata makanan ialah sebahagian daripada budaya kita terutama apabila menyambut perayaan dan kami gembira menambah menu perayaan ini dalam hidangan yang ditawarkan dalam penerbangan kami.
"Kami berharap mereka yang menaiki penerbangan untuk pulang menyambut Deepavali bulan depan akan menikmati kepuasan dan kemesraan hasil hidangan menu khas sementara para tetamu lain boleh menikmati pelbagai citarasa yang ditawarkan oleh AirAsia dalam penerbangan," katanya. - BERNAMA