BRICS: Negara kecil tak perlu bimbang dengan ketidakseimbangan kuasa - Rafizi
Luqman Hariz
Oktober 26, 2024 16:54 MYT
Oktober 26, 2024 16:54 MYT
KAZAN (Rusia): Tidak wujud kebimbangan bahawa ketidakseimbangan kuasa dalam BRICS akan memudaratkan negara anggota lebih kecil.
Menteri Ekonomi, Rafizi Ramli berkata, berbeza dengan aturan Majlis Keselamatan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB), BRICS memberikan suara dan kuasa yang sama kepada semua negara anggota, tanpa mengira saiz ekonomi atau pengaruh politik.
Beliau berkata demikian dalam satu temu bual bersama Agenda AWANI susulan penggulungan Sidang Kemuncak BRICS-16 di sini hari ini.
Sebagai contoh katanya, ketidakadilan sistem antarabangsa pada masa ini dilihat dalam sistem perdagangan global, di mana kuasa besar sering menyalahgunakan tarif atau cukai import kerana tidak berupaya bersaing dengan barangan kos rendah yang dihasilkan oleh negara kecil.
“Di negara macam kita yang berdaya saing, itu akan menghalang pasaran kita daripada pergi ke pasaran yang lebih besar.
“Jadi sebab itu, dari segi strategi negara, bagaimana kita nak menangani perubahan dunia ini akibat daripada geopolitik yang berbeza sekarang, adalah sangat penting untuk kita memastikan pasaran kita diluaskan daripada pasaran tradisional,” katanya.
Justeru katanya, konsep multilateralisme dan kesamarataan menjadi penarik utama bagi Malaysia untuk menyertai BRICS.
“BRICS diwujudkan pada 2009 kerana dunia sudah berubah.
“Sudah wujud negara-negara yang kalau dulu dilihat kurang berpengaruh, mereka tidak mendapat tempat dalam mempengaruhi aturan di peringkat antarabangsa.
“Kini, negara-negara asal dalam BRICS ini mempunyai kelebihan utama yang dilihat pada masa akan datang sebagai imbangan kepada blok ekonomi yang lain,” ujarnya.
Ketika ditanya sama ada ketidakseimbangan dalam sistem sedia ada akan muncul dalam BRICS akibat kehadiran kuasa besar seperti China dan Rusia, Rafizi berkata ini tidak menjadi kebimbangan kerana kesamarataan menjadi asas penubuhan blok itu sejak hari pertama.
“Kalau pun ada kebimbangan ia akan mengulangi masalah (ketidaksamarataan) sedia ada, saya ingat masanya itu agak panjang lagi kerana tidak ada satu pun negara atau kuasa di dalam BRICS ini yang pengaruh dan kuasanya sangat dominan berbanding negara-negara lain.
“Jadi keadaannya tak sama kerana dalam tempoh 80 tahun yang lepas, kita ada beberapa blok dan negara yang kuasa ekonomi dan politiknya begitu dominan, dan sistem di Majlis Keselamatan PBB pula memang memberikan kuasa veto kepada beberapa buah negara.
“Perkara-perkara itu tidak wujud dalam BRICS setakat ini,” katanya.
Saksikan temubual penuh bersama Menteri Ekonomi, Rafizi Ramli pasca-Sidang Kemuncak BRICS-16 Isnin ini, jam 8.30 malam, di Astro AWANI.