Bolehkah PRU pengaruhi keputusan BNM tentukan kadar OPR? Ini analisis Maybank IB

Dagang News
September 13, 2022 09:00 MYT
Maybank IB menjalankan analisis terhadap tiga PRU sebelum ini untuk meninjau kaitan antara PRU dan keputusan penentuan OPR BNM. -Gambar fail/Bernama
KUALA LUMPUR: Penentuan kadar dasar semalaman (OPR) yang diumumkan Bank Negara Malaysia (BNM) sama sekali tidak relevan dengan pilihan raya umum (PRU), jelas Maybank Investment Bank (IB) Research.
Berikutan desas-desus PRU-15 yang semakin berkumandang, membangkitkan persoalan sama ada PRU boleh mempengaruhi keputusan bank pusat dalam menentukan kadar faedah tersebut.
Ini mendorong firma itu menjalankan analisis terhadap tiga PRU sebelum ini untuk meninjau kaitan antara PRU dan keputusan penentuan OPR BNM.
Berdasarkan PRU-12 pada 8 Mac 2008, mesyuarat Jawatankuasa Dasar Monetari (MPC) diadakan pada 25 Februari 2008, dengan OPR kekal tidak berubah pada 3.5%.
"Malah, kadar ini kekal tidak berubah sejak April 2006 selepas kenaikan 80 mata asas (bps) daripada 2.7% (kenaikan 30 bps pada November 2005, 25 bps mada Februari 2006 dan 25 bps pada April 2006).
"Perubahan seterusnya adalah pada November 2008 iaitu pengurangan 25 bps kepada 3.25% yang menandakan permulaan kitaran pelonggaran yang menyaksikan OPR diturunkan kepada 2% menjelang Februai 2009 sebagai tindak balas kepada Krisis Kewangan Global (GFC)," jelasnya dalam nota kajian pada Selasa.
Begitu juga pada PRU-13 yang diadakan 5 Mei 2013, MPC selesai bermesyuarat pada 7 Mac 2013, dengan OPR dikekalkan pada 3% - sejak Mei 2011.
Ini berikutan normalisasi dasar selepas GPC oleh BNM yang turut menyaksikan OPR dinaikkan daripada 2% kepada 2.25% pada Mac 2010, 2.55 (Mei 2010) dan 2.75% (Julai 2010).
Bagi PRU-14 pada 9 Mei 2018, MPC yang bermesyuarat pada 7 Mac 2018, mengekalkan kadar itu pada 3.25%, tidak berubah sejak Januari 2018, setelah dinaikkan sebanyak 25%.
Menurut Maybank IB, kadar OPR berada dalam julat antara 3 hingga 3.25% sejak Mei 2011 dan ia berterusan sehingga Disember 2019.
"Kerana ingin tahu serta memandangkan persoalan sama ada PRU 'penting' kepada keputusan OPR, kami melihat hasil mesyuarat MPC sekitar masa tiga pilihan raya umum lalu yang berlaku sejak OPR menjadi penanda aras kadar faedah BNM pada April 2004.
"Secara keseluruhan, analisis keputusan OPR dan PRU di atas adalah tidak relevan dengan keadaan semasa di mana BNM masih berada di tengah-tengah kitaran kenaikan OPR.
"Kadar ini sudahpun mencapai kemuncaknya selepas kitaran kenaikan sebelum PRU diadakan, justeru, tiada apa yang boleh disimpulkan," jelasnya.
Bagaimanapun, firma itu mengekalkan unjuran kenaikan lagi 25 bps pada mesyuarat MPC November ini menjadikan kadar itu tahun ini pada 2.75% dan mencecah 3% pada awal 2023.
Minggu lalu, BNM menepati jangkaan penganalisis apabila memutuskan untuk menaikkan kadar dasar semalaman (OPR) sebanyak 25 mata asas kepada 2.5%.
Kenaikan kali ketiga secara berturut-turut itu daripada paras terendah 1.75% menyaksikan kadar siling dan lantai koridor OPR juga meningkat masing-masing kepada 2.75% dan 2.25%
Dalam kenyataan, bank pusat berkata, MPC tidak membuat sebarang ketetapan awal serta akan terus menilai keadaan yang berubah-ubah dan kesannya terhadap prospek keseluruhan inflasi dan pertumbuhan dalam negeri.
Sebarang pelarasan pada penetapan dasar monetari pada masa hadapan akan dilaksanakan secara terkawal dan beransur-ansur bagi memastikan dasar monetari kekal akomodatif untuk menyokong pertumbuhan ekonomi yang mampan dalam persekitaran harga yang stabil. - DagangNews.com
#Bank Negara Malaysia #OPR #PRU #Maybank Investment Bank
;