BOH hasil teh Palas Supreme dicipta khas sempena WEF di Davos
Bernama
Januari 26, 2015 21:42 MYT
Januari 26, 2015 21:42 MYT
BOH Plantations Sdn Bhd menghasilkan teh Palas Supreme yang dicipta khas sempena acara tahunan Forum Ekonomi Dunia (WEF) 2015 di Davos, Switzerland.
Bungkusan edisi terhad diterbangkan khas ke Davos dan disampaikan sebagai hadiah istimewa kepada para peserta semasa majlis makan tengah hari perniagaan Malaysia.
Dalam satu kenyataan hari ini, Ketua Pegawai Eksekutif BOH Plantations Sdn Bhd, Caroline Russell berkata bekas teh itu memaparkan imej menarik ladang teh BOH di Cameron Highlands dan jajaran banjaran Alps di Switzerland yang dilitupi salji.
"Kami gembira dapat menyediakan teh terbaik yang ditanam di Malaysia semasa majlis makan tengah hari dan memberi delegasi sebekas teh edisi terhad Palas Supreme sebagai cendera hati.
"Kami juga menyediakan teh ais Pic BOH, teh tarik kurang manis BOH, Cameronian Gold Blend BOH dan teh Mangga Seri Songket BOH kepada semua delegasi," kata Russell.
Beliau berkata Palas Supreme menggunakan daun teh terbaik yang dituai dari kawasan terpilih di Ladang Teh Sungei Palas, bagi memastikan daun yang ringan serta lembut itu memberi rasa yang berbeza dan istimewa.
"Kami berterima kasih kepada penganjur yang memberi peluang untuk berkongsi teh terbaik kami dengan komuniti antarabangsa di WEF. Ia satu penghargaan kepada BOH," katanya.
BOH Plantations merupakan syarikat penanam teh terbesar di Malaysia dengan 1,200 hektar ladang teh.