Boeing raikan 100 tahun pencapaian ubah dunia, lancar inovasi abad kedua
Bernama
Julai 16, 2016 17:52 MYT
Julai 16, 2016 17:52 MYT
Boeing Company meraikan ulang tahunnya ke-100 pada Jumaat, sebagai legasi dalam menghubungkan dan melindungi insan dan negara, menjelajahi bumi dan angkasa, serta menjadi inspirasi kepada yang bercita-cita dan berusaha, melalui produk dan perkhidmatannya.
Sejak mula melangkah sebagai pembuat pesawat ringan berasaskan kayu dan fabrik di limbungan Seattle, Boeing kini merupakan syarikat aeroangkasa terbesar dunia, dan pembuat jet komersial dan pertahanan, serta sistem angkasa dan keselamatan terkemuka.
"Semangat inovasi yang dimiliki pengasas kami, Bill Boeing, yang 100 tahun lepas pada hari ini mendedikasikan syarikat untuk membina sesuatu yang lebih baik, terus hidup dalam setiap generasi kami untuk menghasilkan produk dan perkhidmatan penting dan mengubah kehidupan di seluruh dunia secara positif," kata Pengerusi, Presiden dan Ketua Pegawai Eksekutif Boeing, Dennis Muilenburg, dalam satu kenyataan hari ini.
"Boeing kini memulakan abad kedua kami dengan komitmen untuk mencapai kecemerlangan lebih kuat berbanding sebelum ini, manakala potensi kami bagi pencapaian pula adalah sebesar yang pernah dimiliki pengasas kami, malah matlamat kami mestilah lebih berani, berwawasan dan menginspirasikan".
Warga kerja, pelanggan dan peminat Boeing di segenap dunia bersama-sama untuk meraikan ulang tahun ke-100 syarikat dan membayangkan penemuan teknologi dan inovasi yang belum direalisasikan.
Antara acara Boeing dalam melangkah abad keduanya adalah:
- Pembelajaran 100 hari: kempen pendidikan bermula hari ini tersebut bertujuan memberi inspirasi kepada generasi baharu mengenai wawasan aeroangkasa dengan menyediakan sumber pendidikan percuma yang dihasilkan bersama kumpulan jurutera Boeing dan penyedia kandungan pendidikan terkemuka kepada guru dan pelajar.
- Pameran pesawat: Barisan pesawat terkemuka Boeing dan pameran statik pesawat bersejarah akan menjadi sebahagian daripada acara sambutan hujung minggu Hari Pengasas untuk pekerja di Puget Sound, berhampiran tempat kelahiran syarikat. Acara kemuncak lain termasuk pertunjukan cahaya yang dipancarkan pada badan pesawat 747 dan pesta di Muzium Penerbangan.
- 'Above and Beyond': Pameran pendidikan angkasa dan penerbangan interaktif global dibuka hari ini di Nagoya, Jepun, menyertai London dan Seattle untuk penglibatan serentak; sejak dilancarkan pada Julai 2015, pameran itu telah menerima hampir tiga juta pengunjung.
- 'Age of Aerospace' : Siri dokumentari memaparkan sejarah aeroangkasa melalui evolusi Boeing dan syarikat warisannya. Disiarkan di seluruh dunia dan boleh didapati dalam 18 bahasa, siri ini muncul buat pertama kali hari ini di Perancis di Aerostar TV.
- Pavilion Pengalaman Seratus Tahun: Pameran khas yang memaparkan kisah inovasi Boeing pada masa lalu, masa kini dan masa depan yang dibuka kepada orang ramai pada Pertunjukan Udara Antarabangsa Farnborough di luar London hujung minggu ini.
- Aplikasi inovasi: Aplikasi Inovasi Boeing, yang boleh didapati di iTunes dan Google Play, mempunyai produk Boeing dengan interaktif, model 3-D.
- Membunyikan loceng NYSE: Dua puluh pekerja akan membunyikan loceng pembukaan di Bursa Saham New York pada pukul 9.30 pagi waktu timur. Mereka mewakili pelbagai generasi keluarga yang telah bekerja di syarikat itu selama ini.
Boeing hari ini mewakili beberapa syarikat besar yang telah bergabung sejak abad yang lalu, termasuk McDonnell Aircraft, Douglas Aircraft, North American Aviation/Rockwell, Piasecki/Vertol, syarikat-syarikat helikopter dan angkasa Howard Hughes, Stearman dan The Boeing Company.
Sebagai pengeksport pembuatan terbesar Amerika Syarikat, Boeing menyokong syarikat penerbangan dan Amerika Syarikat serta pelanggan kerajaan bersekutu di lebih 150 negara.
Produk Boeing dan perkhidmatan khusus termasuk pesawat komersial dan ketenteraan, satelit, senjata, sistem elektronik dan pertahanan, sistem pelancaran, sistem komunikasi dan maklumat canggih serta logistik berasaskan prestasi dan latihan.
Beribu pejabat di Chicago, Boeing menggunakan 160,000 tenaga kerja di seluruh AS dan di lebih 65 negara.
Syarikat juga memanfaatkan bakat beratus ribu lagi tenaga mahir yang bekerja untuk pembekal Boeing di seluruh dunia. Perolehan syarikat pada 2015 berjumlah AS$96 bilion.