Boeing, Malaysia Airlines meterai MoU untuk beli 16 pesawat

Bernama
September 13, 2017 12:18 MYT
Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak bergambar bersama Ketua Pegawai Eksekutif Boeing Kevin McAllister (kanan) dan Ketua Pegawai Eksekutif MAB Peter Bellew (tengah) pada Majlis Pertukaran MoU diantara Boeing dan MAB. - Foto BERNAMA
Boeing dan Malaysia Airlines menandatangani Memorandum Persefahaman untuk membeli 16 pesawat - masing-masing lapan 787 Dreamliners dan 737 MAXs, di Washington D.C pada Selasa.
Majlis pemeteraian itu disaksikan oleh Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri Datuk Seri Mustapa Mohamed.
Turut hadir Perdana Menteri Datuk Seri Muhammad Najib Tun Razak, serta para pegawai dari Malaysia Airlines dan Boeing.
Pengumuman itu termasuk lapan 787-9 Dreamliners dengan mengubah tempahan lapan pesawat Boeing 737 MAX Malaysia Airlines yang sedia ada serta tambahan lapan hak pembelian 737 MAX 8s, selain perkhidmatan Global Fleet Care Boeing bagi mengurus kumpulan pesawat syarikat penerbangan itu yang sedia ada dan pesawat Boeing yang akan datang, kata Boeing dalam kenyataan yang dikeluarkan di Washington hari ini.
Boeing Global Fleet Care menyediakan penyelesaian dalam bentuk program Kejuruteraan, Bahan dan Penyelenggaraan untuk operator udara.
Apabila dimuktamadkan, perjanjian itu akan dipaparkan pada laman web 'Tempahan dan Penyerahan' Boeing, katanya.
"Boeing menawarkan pesawat berangka besar dan satu lorong terbaik di dunia, dan kami gembira Malaysia Airlines terus memberikan kepercayaan dan keyakinan ke atas Boeing menerusi MoU untuk 16 kapal terbang Boeing ini," kata Presiden dan Ketua Pegawai Eksekutif, Boeing Commercial Airplanes, Kevin McAllister.
McAllister berkata 787 dan 737 MAX akan menyediakan Malaysia Airlines dengan pesawat yang cekap dari segi penjimatan bahan api, ekonomi serta pengalaman penumpang yang hebat yang tiada saingannya, ketika syarikat penerbangan itu mengembangkan perniagaan merentas Asia Tenggara dan melepasinya.
Pesawat 787 ialah kumpulan kapal terbang yang dilengkapi teknologi canggih dan sangat cekap dengan ciri-ciri yang menawan hati penumpang serta menjimatkan 25 peratus bahan api dengan pelepasan asap 20 hingga 25 peratus lebih rendah berbanding pesawat yang digantikannya.
Barisan pesawat 737 MAX pula direka bentuk untuk menawarkan pelanggan prestasi, fleksibiliti dan kecekapan luar biasa, dengan kos setiap tempat duduk yang lebih rendah serta jarak yang lebih jauh yang akan membuka destinasi baharu dalam pasaran pesawat satu lorong.
Sementara itu, Pengarah Urusan dan Ketua Pegawai Eksekutif Malaysia Airlines, Peter Bellew berkata pesawat berangka besar penting dalam mengembalikan Malaysia Airlines sebagai syarikat penerbangan premium dan menawarkan produk lima bintang.
"Jarak luar biasa 787-9 akan membolehkan kami beroperasi ke mana-mana destinasi di Eropah dan beberpa destinsi di US pada masa depan dari Kuala Lumpur.
"MOU bersama Boeing bagi program Global Fleet Care akan membolehkan kedua-dua syarikat itu membangunkan MRO bertaraf dunia bagi 737 MAX, 787 dan 737NG berdasarkan kemudahan yang sedia ada di Kuala Lumpur," kata Bellew.
Malaysia Airlines beroperasi menggunakan lebih 50 Next-Generation 737s dan mempunyai tambahan 25 pesawat 737 MAXs yang ditempag termasuk 10 pesawat 737 MAX 10 baharu.
- BERNAMA
#737 MAXs #787 Dreamliners #Boeing #Malaysia Airlines #Memorandum Persefahaman #Najib Razak #pesawat
;