Boeing diketip sayap, Airbus melayang rentap
Razak Chik
Januari 2, 2020 20:23 MYT
Januari 2, 2020 20:23 MYT
BUAT pertama kali sejak 2011, Airbus Industrie berjaya memintas Boeing dengan menyerahkan lebih banyak pesawat pada tahun lepas berbanding pesaingnya dari Seattle, Amerika Syarikat.
Untuk tahun 2019, Airbus bejaya menyiap dan menyerahkan 863 pesawat penumpang – peningkatan sebanyak 7.9% berbanding 800 pesawat yang diserahkan tahun lalu. Ini berbanding angka 800 jualan yang dicatat Boeing pada jangka masa yang sama.
Boeing masih berhadapan isu teknikal yang menyebabkan penggantungan penyerahan dan larangan terbang pesawat Boeing 737 Max.
Pada hujung tahun, Boeing mengumumkan penggantungan pengeluaran 737 Max bermula Januari 2020.
Dengan penggantungan jualan model yang paling laris dalam sejarah ini, Boeing hanya mampu menyerahkan 800 pesawat sepanjang tahun 2019.
Lebih mengeruhkan keadaan, pada Jun tahun lalu, syarikat penerbangan Flyadeal dari Arab Saudi membatalkan rancangan pembelian 737 Max 8 bernilai AS$5.9 bilion digantikan dengan 50 A320 Neo.
Nahas melibatkan Boeing 737 Max milik Lion Air dan Ethiopian Airlines mengakibatkan pesawat model berkenaan terpaksa dihentikan perkhidmatan tanpa sebarang petunjuk bila ia akan kembali dibenar untuk terbang.
Lion Air JT610 terhempas mengorbankan kesemua 189 penumpang, kru dan anak kapal di Laut Jawa pada Oktober 2018.
Empat bulan kemudian, Ethiopian Airlines ET302 terhempas beberapa minit setelah berlepas dari Lapangan Terbang Addis Abba mengorbankan 157 nyawa.
Peningkatan penjualan ini juga hasil pengorbanan yang dilakukan pekerja Airbus yang sanggup berkerja lebih masa pada waktu cuti hujung tahun. Ini disebabkan kerja kerja ubah-suai dalaman melibatkan kerja tambahan dan perlu diselesaikan sebelum diserah kepada pembeli dan dikira terjual.
Airbus kini giat mengeluarkan pelbagai varian pesawat A320 yang mampu terbang lebih jauh dan memuatkan lebih ramai penumpang dari pesaingnya.