Boeing dan Vietjet memuktamadkan perjanjian pembelian bernilai US$11.3 bilion

Bernama
Mei 23, 2016 17:05 MYT
Kapal terbang itu akan dihantar mulai 2019 sehingga 2023 bagi menyokong pertumbuhan berterusan Vietjet di rangkaian domestik dan antarabangsa. - Gambar fail
VietJet Aviation Joint Stock Company dan Boeing telah memuktamadkan tempahan untuk 100 pesawat 737 MAX 200, bernilai lebih kurang US$11.3 bilion (US$1 = RM4.06) pada senarai harga semasa.
Perjanjian tersebut yang menjadi pembelian pesawat komersil yang terbesar oleh syarikat penerbangan Vietnam itu, telah disaksikan oleh Presiden Republik Sosialis Vietnam Trần Đại Quang dan Presiden Amerika Syarikat Barack Obama, kata Boeing dalam satu kenyataan di sini hari ini.
"Melalui perjanjian ini, Vietjet akan menyumbang kepada peningkatan jumlah dagangan dua hala antara Vietnam dan Amerika Syarikat, serta integrasi dan pembangunan industri penerbangan di Vietnam," kata Presiden dan Ketua Pegawai Eksekutif Vietjet Nguyễn Thị Phương Thảo.
Kapal terbang itu akan dihantar mulai 2019 sehingga 2023 bagi menyokong pertumbuhan berterusan Vietjet di rangkaian domestik dan antarabangsa.
Perjanjian itu juga akan membantu Vietjet meningkatkan armada pesawatnya kepada lebih 200 kapal terbang menjelang akhir 2023, dengan teknologi termoden dan paling maju di dunia.
"Boeing amat berbesar hati kerana dapat sekali lagi, memainkan peranan dalam memajukan industri penerbangan di Vietnam," kata Presiden Pesawat Komersil dan Ketua Pegawai Eksekutif Boeing Ray Conner.
MAX 737 menggunakan enjin dengan teknologi terbaharu CFM International LEAP-1B, sayap lawi termaju dan beberapa peningkatan lain bagi memberikan kecekapan, kebolehpercayaan dan keselesaan penumpang yang tertinggi dalam pasaran satu lorong.
Sehingga kini, sebanyak 3,098 tempahan dari 65 pelanggan antarabangsa telah diterima untuk 737 MAX.
#bernilai lebih kurang US$11.3 bilion (US$1 = RM4.06) pada senarai harga semasa #VietJet Aviation Joint Stock Company dan Boeing telah memuktamadkan tempahan untuk 100 pesawat 737 MAX 200
;