The Body Shop tutup separuh operasi di UK
Astro Awani
Februari 21, 2024 08:00 MYT
Februari 21, 2024 08:00 MYT
LONDON: Rangkaian syarikat kosmetik The Body Shop mengumumkan penutupan separuh daripada 198 kedainya di United Kingdom (UK) seawal minggu depan.
Firma yang mengendalikan penstrukturan semula syarikat itu, FRP Advisory berkata, jumlah pekerja di ibu pejabatnya juga akan dikurangkan.
Tambah firma itu, tindakan berkenaan akan dijalankan serta merta bermula Selasa depan, melibatkan ratusan pekerja.
The Body Shop menggaji kira-kira 2,200 orang di seluruh UK, termasuk 750 pekerja di ibu pejabatnya.
Menurut FRP Advisory, pengurangan itu akan "membantu memberi nafas baharu" kepada jenama berkenaan.
Namun laman web syarikat itu akan beroperasi seperti biasa.
"Selepas penstrukturan semula ini dilakukan, lebih separuh daripada 198 kedai The Body Shop di UK akan beroperasi seperti biasa," kata FRP Advisory dalam satu kenyataan pada Selasa.
Difahamkan francais global The Body Shop di Asia Barat, Asia, Afrika dan negara Eropah lain tidak akan terjejas.
The Body Shop yang beroperasi di UK dirujuk ke firma penasihat perniagaan, FRP Advisory beberapa bulan selepas ia dibeli oleh Aurelius, sebuah firma ekuiti swasta yang berpangkalan di Jerman.
Aurelius membeli The Body Shop dengan harga £207 juta (RM1.3 bilion) pada akhir tahun lepas dari syarikat kosmetik Brazil, Natura.