BNM umum Kemudahan Bantuan Bencana 2022 untuk PMKS terjejas banjir
Nickyson Nyambar
Disember 20, 2021 21:54 MYT
Disember 20, 2021 21:54 MYT
KUALA LUMPUR: Bank Negara Malaysia (BNM) mengumumkan kemudahan pembiayaan sebanyak RM200 juta yang disediakan untuk perusahaan mikro, kecil dan sederhana (PMKS) yang terjejas akibat banjir di seluruh negara.
Ia akan dilaksana melalui Kemudahan Bantuan Bencana 2022 (DRF 2022), kata bank pusat itu dalam kenyataan pada Isnin.
Ujarnya, DRF 2022 ini akan membantu PKMS menampung kos membaiki atau mengganti aset untuk kegunaan perniagaan yang telah rosak akibat banjir serta untuk modal kerja.
DRF 2022 ini tersedia untuk PKS, termasuk perusahaan mikro, dengan jumlah pembiayaan maksimum hingga RM500,000 bagi setiap PKS dan hingga RM75,000 bagi setiap perusahaan mikro.
Tempoh pembiayaan adalah hingga lima tahun, termasuk tempoh moratorium selama enam bulan ke atas bayaran pokok dan faedah atau keuntungan.
Kadar pembiayaan adalah hingga 3.50% setahun, termasuk apa-apa fi jaminan.
Kemudahan ini akan disediakan mulai 27 Disember 2021 sehingga peruntukan digunakan sepenuhnya atau akan dikemas kini bergantung pada situasi banjir.
Perniagaan yang terjejas boleh memohon daripada institusi kewangan peserta yang terdiri daripada bank perdagangan, bank-bank Islam dan institusi kewangan pembangunan yang dikawal selia oleh BNM.
Para peniaga boleh menghubungi BNM melalui bnm.gov.my/link sekiranya mereka menghadapi sebarang kesulitan berhubung dengan kemudahan berkenaan.