BNM tidak bimbang kemungkinan diturun taraf kepada status rendah - Zeti

Bernama
September 28, 2015 20:33 MYT
ZETI: Kita perlu tegas agar pelabur dapat melihat bagaimanapun kita menilai keadaan itu. - Gambar Fail
Bank Negara Malaysia (BNM) tidak bimbang kemungkinan diturun taraf kepada 'status rendah' oleh peniaga Tukaran Mungkir Kredit (CDS) kerana penurunan taraf itu bukan oleh agensi penarafan.
Gabenor BNM, Tan Sri Dr Zeti Akhtar Aziz berkata, 'status rendah' hanyalah cara pasaran menyampaikan cerita mereka dan perkara yang sama berlaku semasa Krisis Kewangan Asia pada 1998.
"Bagaimanapun setahun selepas krisis kewangan itu, kita berupaya membuktikan kepada dunia apa yang boleh kita lakukan.
"Kita perlu tegas agar pelabur dapat melihat bagaimanapun kita menilai keadaan itu," katanya kepada pemberita selepas melancarkan 'Financial LATeracy Exhibition' di Muzium dan Galeri Seni BNM di sini, hari ini.
Standard & Poors memberikan penarafan stabil A untuk Malaysia manakala Fitch Ratings telah meningkatkan penarafannya kepada stabil A.
Ringgit telah menerima tekanan daripada perkembangan global yang amat tidak menentu di Amerika Syarikat, China dan Timur Tengah.
Pada jam 5 petang hari ini, ringgit disebut harga pada 4.4160/4240 berbanding dolar US.
"Apa yang penting ialah ekonomi kita mempunyai kekuatan dan ketahanan untuk menghadapinya.
"Bagaimanapun, kita tidak menghadapi sebarang tekanan untuk menaikkan kadar faedah kerana paras sekarang akomodatif dan menyokong aktiviti ekonomi," katanya dengan menambah, prospek pertumbuhan KDNK BNM sebanyak 4.5-5 peratus untuk 2015.
Dalam kenyataan dasar monetari terbaru, Bank Pusat itu memutuskan untuk mengekalkan kadar dasar semalaman pada 3.25 peratus.
Zeti berkata, BNM melihat pertumbuhan stabil dalam pertumbuhan kredit yang bermakna persekitaran mencabar tidak menjejaskan pinjaman daripada sistem kewangan bagi membantu perniagaan, terutama perusahaan kecil dan sederhana yang mengalami pertumbuhan dua angka.
Menurutnya, ia tidak mungkin dapat menetapkan kadar pertukaran berikutan persekitaran yang sangat dinamik.
"Kita tidak mempunyai paras tertentu kerana ini adalah persekitaran yang dinamik, di mana mata wang lain juga membuat pelarasan. Oleh itu kita tidak boleh menetapkan mata wang kita pada paras tertentu kerana ia akan menjadi salah jajaran," tambah Zeti.
#Bank Negara Malaysia #BNM #CDS #dolar #ringgit #Tukaran Mungkir Kredit
;