BNM teliti perubahan dinamik dalam inflasi untuk kestabilan harga
Bernama
Mac 29, 2023 05:45 MYT
Mac 29, 2023 05:45 MYT
KUALA LUMPUR: Bank Negara Malaysia (BNM) sedang meneliti perubahan dinamik dalam inflasi untuk mempertimbangkan tahap kestabilan harga yang sesuai yang akan terus menyokong pertumbuhan mampan pada masa hadapan.
Gabenor BNM Tan Sri Nor Shamsiah Mohd Yunus berkata bukan sahaja Malaysia, ini merupakan perkara yang sedang diteliti oleh banyak negara lain.
Beliau berkata demikian pada sesi soal jawab selepas pelancaran laporan tahunan 2022 bank pusat itu pada Rabu, sebagai respons kepada sama ada tiga peratus adalah norma baharu bagi inflasi berbanding paras terendah dalam sejarah iaitu 2.2 peratus memandangkan kadar inflasi dijangka kekal tinggi sekitar 3.0 hingga 3.8 peratus tahun ini.
"Kita perlu terus berwaspada terhadap ketidaktentuan ekonomi. Kita belum keluar dari cabaran. Oleh itu, sangat penting bagi Jawatankuasa Dasar Monetari untuk menilai keadaan yang berkembang serta kesannya terhadap pertumbuhan dan inflasi.
"Dasar monetari mempunyai peranan yang perlu dimainkan dan jika kita merasakan syarat permintaan memberi tekanan harga yang lebih tinggi kepada rakyat, jelas ini bermakna ia perlu diubah suai untuk mereka," katanya.
Nor Shamsiah ketika mengulas mengenai kadar faedah terminal berkata sukar untuk memberikan angka kerana keadaan bergerak pantas dan ini dapat dilihat di negara lain serta yang mana kadar terminal terus berubah.
Oleh itu, bagi BNM, adalah amat penting untuk terus dapat menilai keadaan yang berubah-ubah di bawah tempoh ketidaktentuan semasa termasuk impaknya terhadap prospek, dan terus tangkas untuk bertindak balas sewajarnya bagi mencapai kestabilan harga serta pertumbuhan yang mampan, katanya.
Mengenai langkah rasionalisasi subsidi, beliau berkata subsidi menyeluruh adalah tidak mampan dan perlu dirasionalisasi.
"Kami menyedari bahawa laluan dasar kami perlu dibina semula supaya ekonomi berada dalam kedudukan yang lebih baik bagi menangani kejutan masa depan.
"Boleh dikatakan tidak ada keadaan yang tepat, tetapi ia adalah sesuatu yang perlu dilakukan, dan ada kaedah bagi melakukannya untuk mengurangkan kesan," katanya.
Nor Shamsiah berkata, dengan merasionalisasikan skim subsidi semasa, penjimatan yang terhasil boleh disalurkan dengan betul untuk memberi manfaat kepada kumpulan rentan yang paling memerlukannya.
Bentuk subsidi semasa bersifat tidak seimbang dan turut dinikmati oleh mereka yang tidak layak, yang mana, dengan itu, mewujudkan ketidakseimbangan.
Pelaksanaan rasionalisasi itu juga akan memastikan kemampanan fiskal dan membolehkan negara mengukuhkan sistem perlindungan sosialnya, selain daripada kemajuan ke arah ekonomi yang lebih hijau, katanya.
-- BERNAMA