BNM: Sistem perbankan Malaysia terus mengekalkan mudah tunai yang sihat

Bernama
Julai 29, 2022 18:03 MYT
Dalam laporan sorotan bulanan Jun 2022 yang dikeluarkan hari ini, BNM berkata nisbah pinjaman kepada dana kekal stabil pada 81.8 peratus bagi bulan berkenaan. - Gambar fail/BERNAMA
KUALA LUMPUR: Sistem perbankan terus mengekalkan mudah tunai dan pembiayaan yang sihat, mencatatkan nisbah agregat liputan kecairan sebanyak 148.4 peratus, kedudukan yang terus menyokong aktiviti pengantaraan, menurut Bank Negara Malaysia (BNM).
Dalam laporan sorotan bulanan Jun 2022 yang dikeluarkan hari ini, bank pusat itu berkata nisbah pinjaman kepada dana kekal stabil pada 81.8 peratus bagi bulan berkenaan.
"Sumber pembiayaan bank kekal mantap dan menyokong pengantaraan kredit dalam ekonomi di tengah-tengah pertumbuhan deposit yang berterusan," katanya.
Sementara itu, BNM berkata pembiayaan bersih Jun meningkat 5.0 peratus berbanding 4.5 peratus pada Mei, didorong oleh pertumbuhan 5.6 peratus dalam pinjaman tertunggak berbanding 5.0 peratus pada bulan sebelumnya, manakala pertumbuhan bon korporat tertunggak kekal tidak berubah pada 3.4 peratus.
"Pertumbuhan pinjaman isi rumah yang tertunggak bertambah 5.9 peratus di semua tujuan pinjaman berbanding 5.0 peratus semasa Mei, mencerminkan pertumbuhan yang lebih tinggi dalam pengagihan pinjaman terutamanya untuk kereta dan rumah.
"Untuk perniagaan, pinjaman tertunggak berkembang 5.8 peratus berbanding 5.4 peratus yang dicatatkan pada Mei, berikutan pertumbuhan dalam pengeluaran pinjaman (23.0 peratus; Mei: 20.8 peratus) mengatasi jumlah pembayaran balik (20.0 peratus; Mei: 23.6 peratus).
"Secara sektoral, pertumbuhan pinjaman tertunggak yang lebih tinggi mencerminkan pertumbuhan yang lebih kukuh dalam perdagangan borong serta runcit, pengangkutan, penyimpanan dan komunikasi," kata laporan Jun.
BNM ketika menyentuh mengenai pasaran kewangan berkata keadaan pasaran kewangan domestik telah diperketatkan berikutan kenaikan mendadak kadar faedah Amerika Syarikat (AS).
"Pada Jun, keadaan pasaran kewangan global diperketatkan berikutan kenaikan 75 mata asas, yang agak ketara sejak 1994 dalam kadar dana rizab persekutuan AS berikutan tekanan inflasi AS yang semakin memuncak. Ini kemudiannya telah menimbulkan kebimbangan mengenai prospek pertumbuhan ekonomi AS dan global," katanya.
Pelarasan dalam pasaran kewangan domestik "kekal teratur" berikutan prospek pemulihan ekonomi yang positif.
"Di tengah-tengah aliran keluar portfolio asing daripada pasaran bon domestik, hasil sekuriti kerajaan Malaysia (MGS) 10 tahun menokok sebanyak 9.0 mata asas, kenaikan yang lebih kecil berbanding hasil bon serantau dengan purata 21.5 mata asas," kata laporan itu.
Ringgit menyusut sebanyak 0.7 peratus (purata serantau: 3.1 peratus) pada Jun di tengah-tengah pengukuhan dolar US yang meluas, manakala FBM KLCI merosot 8.0 peratus berbanding purata serantau: 7.1 peratus," katanya.
BNM turut mengumumkan kualiti aset dalam sistem perbankan kekal utuh.
"Keseluruhan nisbah pinjaman terjejas kasar naik sedikit kepada 1.7 peratus pada Jun berbanding 1.6 peratus pada Mei tetapi nisbah pinjaman terjejas bersih kekal tidak berubah pada 1.0 peratus.
"Bank-bank terus berhemat dalam pemberian pinjaman untuk mengatasi potensi kerugian kredit, dengan jumlah peruntukan dan rizab pengawalseliaan berjumlah RM 41.1 bilion (Mei: RM 40.7 bilion).
"Jumlah peruntukan adalah pada 1.8 peratus sebagai bahagian daripada jumlah pinjaman sistem perbankan dan 108.5 peratus daripada pinjaman terjejas," katanya.
-- BERNAMA
#sistem perbankan #BNM #Bank Negara Malaysia #pinjaman
;