BNM: Sistem perbankan berkedudukan baik untuk menyokong pemulihan ekonomi

Bernama
April 29, 2022 04:33 MYT
BNM berkata, persekitaran pasaran kewangan domestik menjadi ketat berikutan peningkatan dalam kadar hasil MGS 10 tahun sebanyak 20.6 mata asas serta penurunan dalam FBM KLCI sebanyak 1.3 peratus. - Gambar fail
KUALA LUMPUR: Sistem perbankan Malaysia kekal berada pada kedudukan terbaik untuk menyokong pemulihan ekonomi, kata Bank Negara Malaysia (BNM).
Menurut BNM, setakat Mac 2022, perbankan Malaysia telah mengekalkan tahap permodalan yang kukuh, dengan lebihan penampan modal sebanyak RM125.5 bilion.
"Nisbah modal menurun sedikit, didorong terutamanya oleh pelarasan penilaian ke atas instrumen kewangan yang sedia untuk dijual dalam keadaan peningkatan hasil bon," kata bank pusat itu dalam laporan sorotan bulanan bagi Mac yang dikeluarkan pada Jumaat.
Kualiti aset perbankan terus mantap pada Mac dengan nisbah pinjaman terjejas kasar serta bersih keseluruhan secara amnya kekal stabil masing-masing pada 1.5 peratus dan 0.9 peratus.
Bank-bank terus mengamalkan sikap berhemat apabila tahap peruntukan mereka kekal tinggi, dengan nisbah perlindungan kerugian pinjaman (termasuk rizab pengawalseliaan) sebanyak 133 peratus berbanding purata 129 peratus semasa 2020-2021.
"Jumlah peruntukan susut sedikit kepada 1.8 peratus, sebagai sebahagian daripada jumlah pinjaman sistem perbankan berbanding 1.9 peratus yang direkodkan pada Februari.
BNM ketika mengulas mengenai keadaan pasaran kewangan domestik berkata persekitarannya menjadi ketat berikutan peningkatan dalam kadar hasil MGS 10 tahun sebanyak 20.6 mata asas serta penurunan dalam FBM KLCI sebanyak 1.3 peratus.
Pasaran kewangan tempatan juga didorong oleh keadaan kewangan global yang lebih ketat selain daripada perkembangan geopolitik selepas sentimen pasaran kewangan global dipengaruhi oleh laluan normalisasi dasar monetari yang lebih cepat daripada yang dijangkakan oleh Rizab Persekutuan Amerika Syarikat dan konflik di Ukraine.
"Pengukuhan nilai dolar US secara amnya pada bulan itu turut mengakibatkan nilai ringgit menurun sedikit," kata BNM lagi.
Walaupun prestasi pasaran kewangan adalah lebih lemah, pelarasan kekal teratur berikutan mudah tunai dagangan yang mencukupi.
-- BERNAMA
#sistem perbankan #BNM #pemulihan ekonomi #pasaran kewangan
;