BNM raih RM2.7 juta pada lelongan wang kertas Malaysia
Bernama
November 25, 2021 08:00 MYT
November 25, 2021 08:00 MYT
KUALA LUMPUR: Acara Lelongan Ke-13 Wang Kertas Malaysia Siri Keempat dengan Nombor Siri Khas pada 13-20 November lepas, berjaya meraih sejumlah RM2.7 juta daripada bidaan oleh kalangan pengumpul dari serata dunia.
Penganjur acara tersebut, MNP Auctioneers (Central) Sdn Bhd berkata pembida mengemukakan bidaan masing-masing secara dalam talian sebelum dikumpulkan bagi acara secara langsung pada hari terakhir yang menyaksikan mereka saling bersaing di bawah kendalian jurulelong.
"Bidaan itu turut disaksikan sendiri oleh penonton global menerusi laman sesawang best2bid.com dengan kesemua 267 wang kertas Malaysia dalam nilai RM1, RM5, RM10, RM50 dan RM100 dibida serta dijual pada paras 10-30 kali lebih tinggi daripada harga awal.
"Wang kertas RM5 merupakan antara yang paling diminati dengan dua wang kertas tersebut yang memaparkan awalan nama Gabenor Bank Negara Malaysia (BNM) Datuk Nor Shamsiah Mohd Yunus dilelong 30 kali melebihi nilai asal masing-masing iaitu pada RM61,000 dan RM68,000," katanya dalam satu kenyataan pada Rabu.
Sementara itu, Pengarah Urusannya Stephen Soon berkata selaku platform bidaan terbabit, pihaknya amat gembira dengan sambutan memberangsangkan terhadap acara itu yang turut disertai oleh pembida dari United Kingdom dan Amerika Syarikat.
"Pihak kami membuat pilihan tepat dengan menjalankan lelongan secara dalam talian kerana ia terbukti dapat menjangkaui lebih banyak pembida serta memudahkan mereka untuk bersaing mendapatkan wang kertas eksklusif ini," katanya.
Beliau berkata, syarikat tersebut akan meneruskan penganjuran lebih banyak acara lelongan wang kertas eksklusif di masa akan datang selain bekerjasama erat dengan BNM dan pihak best2bid bagi menambah baik pengalaman peminat wang kertas tersebut.
Menurutnya, ini juga sejajar dengan minat serta permintaan berterusan terhadap wang kertas Malaysia.
-- BERNAMA