BNM mungkin tangguh atau umum kenaikan OPR pada kadar lebih kecil - Maybank IB

Bernama
Januari 18, 2023 12:22 MYT
Maybank IB menjangkakan BNM (gambar) berkemungkinan membuat kejutan dengan menangguhkan kenaikan seterusnya OPR atau pada kadar yang lebih kecil. -Gambar fail/Bernama
KUALA LUMPUR: Maybank Investment Bank Bhd (Maybank IB) menjangkakan Bank Negara Malaysia (BNM) berkemungkinan membuat kejutan dengan menangguhkan kenaikan seterusnya kadar dasar semalaman (OPR) atau pada kadar yang lebih kecil.
Bank pelaburan itu berkata, tindakan sedemikian bertujuan menangani reaksi negatif.
"Bagi kami, sebarang kenaikan baharu OPR pada Januari akan hanya mengukuhkan aliran kenaikan Kadar Tawaran Antara Bank Kuala Lumpur tiga bulan (KLIBOR 3M), kecuali terdapat sebarang pengumuman mengenai langkah berkaitan mudah tunai," katanya dalam nota tinjauannya hari ini.
Maybank IB berkata jika OPR dikekalkan pada kadar 2.75 peratus, kalangan penganalisis mengunjurkan bahawa hasil Sekuriti Kerajaan Malaysia tiga tahun akan susut kepada 3.25-3.40 peratus dan tanpa mengambil kira kesan kadar faedah Amerika Syarikat (AS), KLIBOR 3M akan mula reda secara beransur-ansur.
Menurutnya, pasaran secara amnya menjangkakan BNM menerusi mesyuarat Jawatankuasa Dasar Monetari (MPC) esok, akan bertindak menaikkan kadar OPR sebanyak 325 mata asas lagi -- kenaikan kelima berturut-turut.
"Dari sudut strategi kadar, kami berpendapat bahawa pelabur sebaliknya berkemungkinan mengharapkan kejutan BNM dengan menangguhkan kenaikan itu berikutan pasaran sudah pun berada dalam kedudukan menerima kenaikan OPR sekitar 3.25 peratus.
"Tidak dinafikan bahawa kenyataan MPC pada November lepas lebih kepada membenarkan kenaikan baharu tetapi tanpa sebarang kekangan bahawa normalisasi kadar itu bukanlah sesuatu yang ditetapkan lebih awal," katanya.
Maybank IB juga menjangkakan bahawa pertumbuhan domestik akan lebih perlahan kepada 4.0 peratus daripada 8.0 peratus pada 2022.
"Inflasi juga tertakluk kepada keadaan turun naik yang bergantung kepada masa serta tahap pelarasan harga. Sebagai contoh, inflasi berteraskan permintaan perlukan pemantauan, namun tidak mungkin bertahan jika kesan pembukaan semula (ekonomi) mulai reda serta lebih menjurus kepada langkah mengetatkan dasar.
"BNM mampu sebenarnya untuk menangguhkan kenaikan baharu kerana OPR telah mencecah 2.75 peratus yang kami anggap hanya satu hingga dua kenaikan daripada kawasan kekangan neutral," katanya.
Malah, Maybank IB juga menyifatkan kestabilan tukaran asing bukan satu isu pada masa ini.
Sebaliknya, perkara utama yang perlu diberi perhatian adalah kenaikan ketara KLIBOR 3M sejak akhir 2022.
"Penetapan kali terakhirnya adalah pada 3.71 peratus dengan tebaran 96 mata asas yang luas terhadap OPR dan mungkin mencerminkan gabungan prospek kenaikan lebih tinggi selain mudah tunai antara bank yang lebih ketat," katanya.
-- BERNAMA
#Bank Negara Malaysia #OPR #kadar dasar semalaman #Maybank Investment Bank
;