BNM lantik dua anggota luar Jawatankuasa Dasar Monetari
Astro Awani
April 29, 2019 20:29 MYT
April 29, 2019 20:29 MYT
Bank Negara Malaysia (BNM) melantik semula Profesor Dr Yeah Kim Leng dan melantik Datuk Dr Gan Wee Beng sebagai anggota luar bagi Jawatankuasa Dasar Monetari BNM berkuat kuasa 1 April, 2019.
Yeah, profesor ekonomi di Sunway University dilantik semula ke jawatan itu bagi tempoh setahun, manakala Gan, Ahli Lembaga Perbadanan Insurans Deposit Malaysia (PIDM) dilantik untuk tempoh dua tahun.
Pelantikan dibuat di bawah Akta BNM 2009 yang memberi peruntukan kepada pelantikan anggota luar bagi Jawatankuasa Dasar Monetari, kata bank pusat itu dalam satu kenyataan hari ini.
Menurutnya, kedua-dua individu tersebut akan terus meningkatkan kepakaran dan pengalaman secara kolektif yang berkaitan dengan tanggungjawab dan fungsi jawatankuasa tersebut.
Selain Yeah dan Gan, anggota jawatankuasa itu turut disertai tujuh yang lain iaitu Gabenor Datuk Nor Shamsiah Yunus, Timbalan Gabenor Abdul Rasheed Ghaffour dan Jessica Chew Cheng Lian dan Penolong Gabenor Norzila Abdul Aziz dan Marzunisham Omar.
BNM menjelaskan, Jawatankuasa Dasar Monetari bertanggungjawab merumuskan dasar monetari dan polisi bagi pengendalian operasi dasar monetari.
Dasar monetari dirumus dan dilaksanakan secara autonomi oleh BNM, seperti termaktub di bawah Akta BNM.
#anggota luar
#Bank Negara Malaysia
#ekonomi
#Gan Wee Beng
#Jawatankuasa Dasar Monetari
#operasi
#Yeah Kim Leng