BNM kurangkan SRR kepada 3.5 peratus berkuatkuasa 1 Feb

Bernama
Januari 21, 2016 11:31 MYT
Kadar dasar semalaman merupakan satu-satunya penunjuk kepada isyarat pendirian dasar monetari yang diumumkan melalui mesyuarat Jawatankuasa Dasar Monetari. - Gambar Fail
Bank Negara Malaysia (BNM) akan mengurangkan Nisbah Keperluan Rizab Berkanun (SRR) institusi perbankan kepada 3.5 peratus daripada 4.0 peratus, berkuatkuasa 1 Februari.
BNM berkata penurunan itu adalah sebahagian daripada usahanya yang menyeluruh bagi memastikan mudah tunai yang mencukupi dalam sistem kewangan domestik dan menyokong fungsi pasaran kewangan yang teratur.
"Sejak awal tahun 2015, BNM telah bergantung kepada operasi monetari, termasuk kemudahan repo terbalik bagi menyediakan mudah tunai kepada sistem perbankan memandangkan aliran keluar bersih mengurangkan jumlah kecairan dalam sistem.
"Sehingga hari ini, jumlah mudah tunai adalah sebanyak RM40 bilion," katanya dalam satu kenyataan, sambil menambah bahawa SRR merupakan instrumen untuk menguruskan mudah tunai dan bukan menandakan pendirian dasar monetari.
Katanya, kadar dasar semalaman merupakan satu-satunya penunjuk kepada isyarat pendirian dasar monetari yang diumumkan melalui mesyuarat Jawatankuasa Dasar Monetari.
#Bank Negara Malaysia #BNM #Nisbah Keperluan Rizab Berkanun #OPR #srr