BNM komited pastikan kestabilan ringgit, aliran masuk pertukaran asing - Gabenor
Bernama
Mac 6, 2024 19:59 MYT
Mac 6, 2024 19:59 MYT
KUALA LUMPUR: Bank Negara Malaysia (BNM) komited sepenuhnya untuk memastikan kestabilan ringgit berdasarkan usaha bersepadu kerajaan dan bank pusat bagi meningkatkan aliran masuk secara mampan ke dalam pasaran pertukaran asing.
Gabenor BNM Datuk Abdul Rasheed Ghaffour berkata bank itu telah menggiatkan libat urusnya dengan syarikat berkaitan kerajaan dan syarikat pelaburan berkaitan kerajaan untuk menggalakkan pendapatan pelaburan asing mereka dibawa balik dan ditukarkan kepada ringgit secara lebih konsisten.
"Kami juga telah menggiatkan libat urus dengan pelabur asing, untuk mengetengahkan prospek positif Malaysia serta mengapa negara masih menjadi destinasi pelaburan dan perniagaan yang menarik.
"Oleh itu, dengan kedudukan ringgit berada di bawah nilai saksama serta peluang pelaburan yang sedia ada dan yang akan datang, pelabur global berpeluang untuk meraih manfaat dengan menjadi sebahagian daripada prospek pertumbuhan Malaysia," katanya dalam ucap tama beliau pada Simposium Kewangan Islam 2024, anjuran FitchRatings, hari ini.
Abdul Rasheed juga berkata meskipun ringgit mengalami tekanan sejak 2022, hal ini sebahagian besarnya dipengaruhi oleh pelarasan kadar dasar yang agresif oleh Rizab Persekutuan Amerika Syarikat, yang mana fenomena ini tidak hanya khusus kepada Malaysia namun mencerminkan dinamik pasaran mata wang yang lebih luas.
"Memandangkan prospek pertumbuhan Malaysia yang positif, paras ringgit semasa berada di bawah nilai saksama. Keadaaan ini tidak wajar kerana ringgit juga disokong oleh keyakinan pelabur yang berterusan, dibuktikan menerusi pemegangan bon kerajaan jangka panjang yang stabil oleh pelabur bukan pemastautin pada sekitar 22 peratus dan aliran masuk asing baru-baru ini ke dalam pasaran ekuiti domestik," katanya.
-- BERNAMA