BNM komited pastikan kestabilan harga untuk sokong pertumbuhan ekonomi mampan

Bernama
Mac 29, 2023 13:29 MYT
Menurut bank pusat, operasi monetari akan terus memastikan mudah tunai yang mencukupi dalam pasaran pertukaran asing, wang dan bon Kerajaan. - Gambar hiasan
Bank Negara Malaysia (BNM) kekal komited untuk memastikan kestabilan harga bagi menyokong pertumbuhan ekonomi dalam negeri yang mampan, meskipun berdepan cabaran berikutan perkembangan global.
BNM dalam Laporan Tahunan 2022 yang dikeluarkan hari ini berkata, pengembalian tahap akomodatif dasar monetari ke paras wajar yang seterusnya akan ditentukan oleh perkembangan keadaan serta implikasinya terhadap prospek inflasi dan pertumbuhan dalam negeri.
Menurut bank pusat, operasi monetari akan terus memastikan mudah tunai yang mencukupi dalam pasaran pertukaran asing, wang dan bon Kerajaan.
"Operasi monetari akan turut menjadi pelengkap kepada dasar bank yang lain untuk memastikan kelancaran fungsi pasaran kewangan domestik dan pengantaraan kewangan.
"Memandangkan saat terburuk dalam krisis pandemik sudahpun berlalu, BNM perlu memberikan tumpuan pada usaha memulihkan semula kekukuhan serta asas-asas ekonomi sebagai persediaan untuk menghadapi sebarang kejutan pada masa hadapan," katanya.
Menurut laporan itu, usaha tersebut termasuklah pembinaan kembali ruang dasar serta meningkatkan semula penampan isi rumah dan perniagaan yang telah menyusut, menerusi pengukuhan liputan perlindungan sosial bagi masa hadapan, menggalakkan simpanan serta memperkukuh ketangkasan dan inovasi perniagaan.
BNM akan terus bekerjasama dengan pihak berkepentingan mengenai langkah-langkah dasar yang relevan, terutamanya pembaharuan struktur untuk memperkukuh daya tahan ekonomi Malaysia secara keseluruhan pada masa hadapan.
Secara keseluruhannya, dasar monetari kekal akomodatif dan menyokong pertumbuhan ekonomi pada tahun 2022.
Jawatankuasa Dasar Monetari (MPC) BNM menaikkan kadar dasar semalaman (OPR) secara beransur-ansur menerusi empat kali pelarasan sebanyak 25 mata asas pada mesyuarat bulan Mei, Julai, September dan November 2022.
Langkah tersebut membawa kepada kenaikan OPR secara keseluruhan sebanyak 100 mata asas, sekali gus menaikkan kadar itu kepada paras 2.75 peratus berbanding paras terendah yang pernah dicatatkannya iaitu 1.75 peratus pada tahun 2020.
Susulan pelarasan OPR, kadar faedah dalam pasaran borong dan runcit menunjukkan trend menaik, kata laporan itu.
Dalam pasaran runcit, kadar pulangan kepada pendeposit dan kadar pinjaman secara amnya meningkat selaras dengan kenaikan OPR.
"Sepanjang tempoh ini, operasi monetari Bank tertumpu pada usaha memastikan mudah tunai yang mencukupi dalam sistem perbankan, termasuk selepas tamatnya tempoh fleksibiliti yang diberikan untuk pematuhan terhadap Keperluan Rizab Berkanun pada 31 Disember 2022.
"Tindakan ini membolehkan pasaran kewangan dan pengantaraan kewangan domestik terus berfungsi dengan teratur bagi menyokong ekonomi," kata BNM.
Sementara itu, rejim kadar pertukaran Malaysia yang fleksibel menyebabkan pergerakan turun naik ringgit yang dijangka berlaku dari semasa ke semasa, kata bank pusat itu.
"Malah, sejak jatuh ke paras terendah berbanding dengan dolar AS iaitu pada RM4.7477 pada 4 November 2022, nilai ringgit telah meningkat semula untuk mencecah RM4.2435 pada 30 Januari 2023.
"Berikutan cabaran dalam ekonomi global yang terus berubah, perkembangan dolar AS mungkin akan terus menjadi faktor utama yang memberikan kesan pada kadar pertukaran ringgit.
"Sistem kewangan negara telah bertahan dengan baik sepanjang tempoh ini dan terus memudahkan pengantaraan untuk menyokong ekonomi yang lebih luas," katanya.
Berikutan pelbagai peristiwa pada tahun 2022, bank negara akan terus memantau perkembangan secara proaktif dan memastikan ekonomi negara terus didukung oleh rejim kadar pertukaran yang menyokong mandatnya bagi mencapai kestabilan monetari dan kewangan yang kondusif untuk pertumbuhan ekonomi Malaysia yang mampan.
-- BERNAMA
#BNM #pertumbuhan dalam negeri #Laporan Tahunan 2022 #kestabilan harga
;