BNM kekalkan OPR pada 3.0 peratus

Bernama
Januari 22, 2025 16:17 MYT
Jawatankuasa Dasar Monetari (MPC) Bank Negara Malaysia (BNM) memutuskan Kadar Dasar Semalaman (OPR) dikekalkan pada 3.0 peratus.- Foto Bernama
KUALA LUMPUR: Jawatankuasa Dasar Monetari (MPC) Bank Negara Malaysia (BNM) memutuskan Kadar Dasar Semalaman (OPR) dikekalkan pada 3.0 peratus menerusi mesyuarat pada Rabu.
BNM menjelaskan ekonomi global mencatatkan pertumbuhan yang lebih tinggi daripada jangkaan pada 2024, mencerminkan pertumbuhan sebenar yang lebih baik di ekonomi utama dan perdagangan global yang lebih kukuh.
"Bagi 2025, ekonomi global dijangka mampan dengan keadaan pasaran pekerja yang positif, inflasi yang terus sederhana dan dasar monetari yang kurang ketat.
"Perdagangan global dijangka kekal mampan secara keseluruhan, disokong oleh peningkatan kitaran teknologi yang berterusan," tambah BNM menerusi Pernyataan Dasar Monetari yang dikeluarkan hari ini.
Bank pusat menambah bagaimanapun, prospek itu boleh dipengaruhi oleh ketidakpastian berhubung dengan sekatan perdagangan dan pelaburan yang lebih banyak.
Ketidakpastian dasar yang kekal tinggi juga boleh menyebabkan volatiliti pasaran kewangan global yang lebih ketara, menurutnya.
BNM memaklumkan bahawa bagi ekonomi Malaysia, pertumbuhan keseluruhan bagi 2024 berada pada kadar yang dijangkakan.
"Pada masa hadapan, kekukuhan kegiatan ekonomi dijangka berterusan pada 2025, didorong oleh perbelanjaan dalam negara yang berdaya tahan.
"Pertumbuhan guna tenaga dan upah berserta langkah-langkah dasar, termasuk semakan kenaikan gaji minimum dan gaji penjawat awam, akan menyokong perbelanjaan isi rumah," jelasnya.
Menurut bank pusat, aktiviti pelaburan yang mantap akan diteruskan oleh projek berbilang tahun yang dilaksanakan dalam sektor swasta dan awam, lebih banyak pelaksanaan berterusan pelaburan yang telah diluluskan serta inisiatif pemangkin yang terus dilaksanakan di bawah beberapa pelan induk nasional.
Pelaburan itu yang disokong oleh modal import yang lebih tinggi akan meningkatkan eksport dan mengembangkan keupayaan pengeluaran ekonomi, tambah BNM.
"Eksport dijangka disokong oleh peningkatan kitaran teknologi global, pertumbuhan eksport barangan bukan elektrik dan elektronik yang terus meningkat dan perbelanjaan pelancong yang lebih tinggi.
'Prospek pertumbuhan bergantung pada risiko pertumbuhan menjadi perlahan daripada kelembapan ekonomi rakan-rakan dagangan utama berikutan risiko sekatan perdagangan dan pelaburan yang ketara serta pengeluaran komoditi yang lebih rendah daripada jangkaan," tambah BNM.
Bank pusat juga memaklumkan, pertumbuhan mungkin menjadi lebih tinggi daripada limpahan peningkatan kitaran teknologi yang lebih besar, aktiviti pelancongan yang lebih giat serta pelaksanaan projek pelaburan yang lebih pantas.
Sementara itu, inflasi keseluruhan dan inflasi teras berpurata sebanyak 1.8 peratus pada 2024, tambah BNM.
"Pada 2025, inflasi dijangka kekal terkawal berikutan keadaan kos global yang semakin reda dan ketiadaan tekanan permintaan dalam negara yang berlebihan. Harga komoditi global dijangka terus menunjukkan trend menurun, menyumbang kepada keadaan kos yang sederhana pada jangka masa terdekat," menurut BNM.
BNM menjelaskan dalam persekitaran itu, kesan keseluruhan langkah-langkah pembaharuan dasar dalam negara yang diumumkan baru-baru ini terhadap inflasi dijangka terkawal.
Risiko kenaikan inflasi akan bergantung pada tahap kesan limpahan langkah-langkah dasar dalam negeri dan harga komoditi global serta perkembangan pasaran kewangan, jelas bank pusat.
Mengenai prestasi ringgit, BNM menjelaskan prestasi ringgit terus didorong terutamanya oleh faktor luaran.
"Perbezaan kadar faedah yang semakin mengecil antara Malaysia dengan ekonomi-ekonomi maju adalah positif untuk ringgit.
"Walaupun pasaran kewangan mungkin menghadapi tempoh volatiliti disebabkan oleh ketidakpastian dasar-dasar global, prospek ekonomi Malaysia dan pembaharuan struktur dalam negara yang menggalakkan, berserta inisiatif yang sedang dilaksanakan untuk menggalakkan aliran dana, akan terus memberikan sokongan yang berterusan kepada ringgit," tambah bank pusat.
BNM juga memaklumkan pada tahap OPR semasa, pendirian dasar monetari terus menyokong ekonomi dan adalah konsisten dengan penilaian semasa mengenai prospek inflasi dan pertumbuhan.
"MPC terus memantau perkembangan semasa bagi memaklumkan penilaian prospek inflasi dan pertumbuhan. MPC akan memastikan pendirian dasar monetari kekal kondusif untuk pertumbuhan ekonomi yang mampan dalam keadaan harga yang stabil," jelas BNM.
-- BERNAMA
#kadar dasar semalaman #OPR #Jawatankuasa Dasar Monetari #Bank Negara Malaysia #terkini
;