BNM kekal OPR pada 3 peratus
Astro Awani
September 7, 2023 15:02 MYT
September 7, 2023 15:02 MYT
KUALA LUMPUR: Jawatankuasa Dasar Monetari (MPC) Bank Negara Malaysia (BNM) membuat keputusan untuk mengekalkan Kadar Dasar Semalaman (OPR) pada 3.00 peratus.
BNM dalam satu kenyataan pada Khamis berkata, pada tahap OPR semasa, pendirian dasar monetari terus menyokong pertumbuhan ekonomi dan konsisten dengan penilaian semasa berhubung dengan prospek pertumbuhan dan inflasi.
“MPC kekal berwaspada terhadap perkembangan semasa bagi memaklumkan penilaian prospek inflasi dan pertumbuhan dalam negeri.
“MPC akan memastikan pendirian dasar monetari kekal kondusif untuk pertumbuhan ekonomi yang mampan dalam keadaan harga yang stabil,” menurut kenyataan BNM.
Pada 6 Julai lalu, MPC BNM mengumumkan OPR kekal pada 3.00 peratus selepas kenaikan pertama tahun ini dilakukan pada Mei, meningkat 25 mata daripada 2.75 peratus pada Januari dan Mac lalu.
Jelas BNM, pertumbuhan ekonomi terkesan pada suku kedua tahun 2023 akibat permintaan luaran yang lebih perlahan dan pengeluaran komoditi yang menurun.
“Pada masa hadapan, pertumbuhan akan terus didorong oleh perbelanjaan dalam negeri yang berdaya tahan dalam keadaan persekitaran luaran yang mencabar.
“Keadaan kewangan domestik juga terus kondusif untuk pengantaraan kewangan berikutan pertumbuhan kredit yang berterusan. Faktor-faktor ini akan terus menyokong momentum pertumbuhan menjelang tahun 2024,” menurut bank pusat itu.
Sementara itu, mengulas mengenai kadar inflasi, BNM menjelaskan bahawa inflasi keseluruhan dan inflasi teras terus mereda berikutan keadaan kos yang lebih sederhana selaras dengan jangkaan.
“Trend menurun ini dijangka berterusan pada separuh kedua tahun 2023, mencerminkan sebahagiannya asas yang lebih tinggi daripada separuh kedua tahun 2022 dan momentum kenaikan harga yang terus reda.
“Risiko terhadap prospek inflasi terus sangat dipengaruhi oleh perubahan dasar dalam negeri mengenai subsidi dan kawalan harga, perkembangan harga komoditi global dan pasaran kewangan, serta inflasi teras yang berlarutan,” tambah BNM.