BNM gagalkan pemindahan dana secara haram
Bernama
Mac 29, 2018 05:06 MYT
Mac 29, 2018 05:06 MYT
Bank Negara Malaysia (BNM) tidak mengalami sebarang kerugian kewangan dalam satu insiden keselamatan siber membabitkan percubaan pemindahan dana secara haram melalui penggunaan mesej Persatuan Telekomunikasi Kewangan Antara Bank Sedunia (SWIFT) yang dipalsukan.
BNM dalam satu kenyataan pada Khamis berkata, ia telah mengesan dan mengagalkan rancangan itu, semua urus niaga tanpa kebenaran telah dihentikan melalui tindakan segera dengan kerjasama SWIFT, bank-bank pusat dan institusi-institusi kewangan yang lain.
"Tidak ada sebarang gangguan ke atas sistem pembayaran dan penyelesaian lain yang dioperasikan oleh bank pusat.
"Kami ingin meyakinkan orang ramai bahawa sistem pembayaran dan penyelesaian Malaysia kekal tidak terjejas dan akan terus beroperasi seperti biasa," katanya.
BNM juga sedang menjalankan penyiasatan terperinci mengenai insiden ini, dengan kerjasama agensi penguatkuasaan tempatan dan antarabangsa.
"Kami ingin memaklumkan bahawa semua langkah kawalan risiko yang dilaksanakan adalah berkesan untuk menghalang kejadian itu," katanya.
Bagaimanapun, bank pusat berkata perlindungan tambahan telah diambil untuk melindungi pihak-pihak kepentingan.
"Kami juga akan terus berjaga-jaga dan sentiasa berada dalam keadaan bersedia, kerana insiden pada masa depan mungkin akan melibatkan perancangan dan pendekatan yang lebih sofistikated," katanya.
Katanya, institusi kewangan juga dinasihatkan agar berhati-hati dengan risiko keselamatan siber dan terus mengukuhkan perlindungan keselamatan mereka.
-- Bernama