BNM diunjur kekalkan OPR 3.0%, namun risiko cenderung ke arah kenaikan - Standard Chartered

Dagang News
September 2, 2024 15:15 MYT
Standard Chartered Global Research mengambil perhatian bahawa risiko kini lebih cenderung ke arah kenaikan berbanding penurunan kadar OPR. - Gambar/ Dagang News
KUALA LUMPUR: Standard Chartered Global Research menjangkakan Bank Negara Malaysia (BNM) akan mengekalkan Kadar Dasar Semalaman (OPR) tidak berubah pada 3%.
Menurut firma penyelidikan itu, BNM yang akan mengadakan mesyuarat Jawatankuasa Dasar Monetari (MPC) berikutnya pada minggu ini dijangka mengekalkan OPR untuk baki tahun ini selari dengan situasi inflasi semasa.
Walaubagaimanapun, Standard Chartered Global Research mengambil perhatian bahawa risiko kini lebih cenderung ke arah kenaikan berbanding penurunan kadar OPR.
"BNM akan mengumumkan keputusan dasar monetarinya pada 5 September 2024. Kami menjangka bank pusat akan mengekalkan OPR pada 3.00%.
"Inflasi bulan Julai adalah sederhana, dengan inflasi utama dan teras masing-masing kekal pada 2.0% dan 1.9% tahun ke tahun," katanya dalam nota penyelidikan hari ini.
Menurut firma penyelidikan itu, pada masa ini tiada tanda-tanda kesan pusingan kedua atau pass-through daripada rasionalisasi subsidi diesel yang mungkin kerana ia dilaksanakan secara bersasar.
"Kami terus menjangkakan kesan sederhana sebanyak 0.1 mata peratusan pada inflasi daripada pemotongan subsidi yang disasarkan.
"Oleh itu, kami mengekalkan pandangan bahawa BNM akan mengekalkan kadar untuk baki tahun ini, sambil mengambil perhatian bahawa risiko lebih cenderung kepada kenaikan kadar berbanding pemotongan.
"Kami akan memantau sebarang perubahan dalam unjuran inflasi BNM," jelasnya.
Sementara itu, firma penyelidikan Standard Chartered itu berkata, BNM juga mungkin akan mengekalkan pandangannya bahawa pergerakan ringgit Malaysia didorong oleh faktor luaran.
"Kebimbangan mengenai ringgit telah mereda dalam beberapa mesyuarat lalu berikutan prestasi ringgit yang baik sejak akhir Februari.
"Penilaian BNM terhadap ringgit berubah daripada "terkurang nilai" pada bulan Mac kepada "tidak mencerminkan … asas-asas" pada bulan Mei, dan seterusnya menyatakan bahawa ia didorong oleh faktor luaran pada bulan Julai," ujarnya. - Dagang News
#kadar OPR #Bank Negara Malaysia #2024 #Standard Chartered