BNM dijangka ketatkan dasar monetari pada separuh kedua 2022 - Penganalisis

Bernama
November 5, 2021 14:08 MYT
BNM telah mengekalkan Kadar Dasar Semalaman (OPR) pada 1.75 peratus di mesyuarat terakhir Jawatankuasa Dasar Monetari (MPC) untuk tahun ini, sekali gus menyaksikan kadar dasar itu tidak berubah sejak Julai 2020. - Gambar fail
KUALA LUMPUR: Moody's Analytics (Moody's) mengunjurkan Bank Negara Malaysia (BNM) akan mengumumkan kenaikan kadar pada separuh kedua tahun depan memandangkan prospek ekonomi Malaysia kian cerah menjelang 2022.
Pada Rabu, BNM telah mengekalkan Kadar Dasar Semalaman (OPR) pada 1.75 peratus di mesyuarat terakhir Jawatankuasa Dasar Monetari (MPC) untuk tahun ini, sekali gus menyaksikan kadar dasar itu tidak berubah sejak Julai 2020.
Dalam satu kenyataan hari ini, penganalisis Denise Cheok berkata antara faktor yang mendorong BMM ke arah normalisasi monetari pada separuh kedua 2022 termasuk tekanan inflasi yang semakin meningkat akibat gangguan rantaian bekalan dan kenaikan harga komoditi serta harga minyak mentah yang dijangka terus melonjak menjelang awal tahun depan.
Beliau berkata negara juga bersedia untuk dibuka semula sepenuhnya pada separuh pertama 2022, dipacu oleh kadar vaksinasi yang tinggi sebanyak 75 peratus daripada populasi, membolehkan perjalanan antarabangsa dibenarkan semula untuk warganegara yang telah lengkap vaksin.
"Sekatan ke atas Lembah Klang yang penting dari segi ekonomi sebahagian besarnya telah ditarik balik, justeru, sektor pembuatan telah meningkat dan Indeks Pengurus Pembelian (PMI) IHS Markit mencapai zon pengembangan pada Oktober iaitu 52.2 buat kali pertama sejak Mei," katanya.
Selain itu, Cheok berkata bantuan tunai dan subsidi upah dijangka dapat membantu mengurangkan kadar pengangguran.
Sementara itu dalam nota berasingan, CGS-CIMB Securities Sdn Bhd (CGS-CIMB) menjangkakan bank pusat hanya akan memulakan semula dasar monetarinya pada 2H2022F(unjuran) dengan dua kenaikan kadar 25 mata asas untuk menjadikan OPR akhir 2022F kepada 2.25 peratus.
"Keputusan BNM untuk mengekalkan OPR pada 1.75 peratus adalah sejajar dengan jangkaan kami dan pasaran di tengah-tengah tekanan yang berkurangan terhadap Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) sebenar susulan pelonggaran sekatan pergerakan," kata ahli ekonomi CGS-CIMB Lim Yee Ping.
-- BERNAMA
#Bank Negara Malaysia #Moody's Analytics #kadar dasar semalaman #Denise Cheok
;