BNM dijangka kekalkan OPR 1.75 peratus pada mesyuarat Khamis ini - Ahli ekonomi

Bernama
Mac 1, 2021 20:50 MYT
Pada Julai tahun lepas, BNM bertindak menurunkan OPR kepada 1.75 peratus -- kadar terendah 2004. - Gambar fail/ Reuters
KUALA LUMPUR: Kalangan ahli ekonomi menjangkakan Bank Negara Malaysia (BNM) akan mengekalkan Kadar Dasar Semalaman (OPR) pada 1.75 peratus dalam mesyuarat Jawatankuasa Dasar Monetari (MPC) 4 Mac ini berikutan prospek pemulihan ekonomi.
Ketua Ahli Ekonomi Bank Islam Malaysia Bhd Dr Mohd Afzanizam Abdul Rashid berkata ini memandangkan data-data seperti eksport dan Indeks Harga Pengguna (IHP) telah memaparkan petunjuk membabitkan pemulihan ekonomi negara.
Lebihan dagangan Malaysia melonjak sebanyak 38 peratus tahun ke tahun kepada RM16.6 bilion pada Januari 2021 manakala jumlah dagangan turut meningkat 4.1 peratus kepada RM162.6 bilion.
Jumlah eksport negara juga terbukti meneruskan momentum positif untuk bulan kelima berturut-turut dengan peningkatan sebanyak 6.6 peratus tahun ke tahun kepada RM89.6 bilion pada Januari lepas dan import menokok 1.3 peratus kepada RM73 bilion.
"Pasaran bon juga menunjukkan tanda-tanda bahawa kadar berkaitan akan meningkat di masa akan datang dengan hasil bagi sekuriti penanda aras meningkat secara agak ketara.
"Namun, kami percaya bahawa BNM masih terbuka terhadap pilihan untuk bertindak menurunkan OPR itu," katanya kepada Bernama.
Mohd Afzanizam juga menyifatkan pemulihan ekonomi negara sebagai bersifat tentatif berikutan pelaksanaan program vaksinasi yang masih di peringkat awal.
Menurutnya, inflasi keseluruhan negara pada Januari juga terbukti lebih baik daripada jangkaan awal apabila susut 0.2 peratus kepada 122.1 berbanding 122.4 setahun sebelumnya dan kadar semasa pula lebih menyokong ekonomi.
Oleh itu, sebarang keputusan berkaitan OPR akan diputuskan berdasarkan data-data akan datang.
Pandangan beliau turut dikongsi oleh Ketua Strategis Pasaran Global Axi, Stephen Innes yang menyifatkan BNM sedang meneliti perkembangan membabitkan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) serta gelombang terkini COVID-19.
Menurutnya, pemulihan ekonomi dijangka berlaku pada suku kedua tahun ini dan kitaran penyusutan itu juga telah berakhir.
"Bagi saya, bank-bank pusat global termasuk BNM akan mengambil langkah susulan dengan meningkatkan kadar faedah walaupun ini mungkin berlaku pada tempoh memasuki 2023.
"Dalam pada itu, BNM juga dijangkakan tidak akan bertindak menurunkan lagi kadar itu sehingga ia benar-benar pasti dengan prestasi ekonomi, pelaksanaan program vaksinasi dan bagaimana aspek mobiliti itu dapat mendorong pemulihan ekonomi," katanya.
Pada Julai tahun lepas, BNM bertindak menurunkan OPR kepada 1.75 peratus -- kadar terendah 2004.
Menurut Innes, sebarang pergerakan mobiliti itu akan membawa kepada pemulihan ekonomi secara sendiri dan jika sebaliknya akan menyaksikan BNM masih mempunyai pilihan menurunkan kadar tersebut seawal 2022.
"Namun, saya berpendapat ini mungkin sukar berlaku kerana pemulihan eksport dan komoditi sebaliknya mempengaruhi ekonomi ketika ekonomi domestik kembali meningkat," katanya.
Sementara itu, Pengarah Penyelidikan Institut Demokrasi dan Hal Ehwal Ekonomi (IDEAS), Laurence Todd juga yakin kadar OPR akan dikekalkan dan menganggap keadaan masih terlalu awal untuk meningkatkan kadar sedia ada walaupun ekonomi negara dijangka pulih pada 2021.
"Prospek bagi 2021 adalah jauh lebih baik berbanding 2020, terutama menerusi pelaksanaan program vaksinasi. Namun, risikonya masih ada.
"Walaupun beberapa negara mencatat kemajuan ketara membabitkan usaha vaksinasi itu, keadaan sebaliknya lebih perlahan di beberapa negara lain yang berpotensi menyebabkan gangguan serta peningkatan semula jangkitan COVID-19.
"Malah, sekiranya pelaksanaan vaksinasi ini berjaya, sekatan (pergerakan) tertentu akan hanya ditarik balik selepas beberapa bulan seperti perjalanan antarabangsa," katanya.
Atas alasan itu, Todd berkata pemulihan ekonomi di beberapa negara hanya dijangka bermula pada penghujung 2021.
Sementara itu, Ahli Ekonomi Kanan UOB Malaysia Julia Goh berkata pihaknya berpendapat bahawa BNM kurang cenderung menggunakan mekanisme dasar monetari meluas pada masa ini walaupun dalam persekitaran Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) yang susut serta lanjutan PKP 2.0.
"Sehubungan itu, kami menjangkakan BNM akan mengekalkan OPR pada 1.75 peratus dalam mesyuarat MPC ini," katanya.
-- BERNAMA
#BNM #Bank Negara Malaysia #OPR #kadar dasar semalaman #1 75 #Malaysia #ekonomi #ahli ekonomi #mesyuarat Jawatankuasa Dasar Monetari
;