BNM beri MBSB pelanjutan hingga 5 Jan muktamad rundingan pengambilalihan MIDF

Bernama
Oktober 1, 2022 08:30 MYT
MBSB dalam maklumannya kepada Bursa Malaysia pada Jumaat berkata butiran lanjut mengenai urus niaga yang dicadangkan itu akan diumumkan dalam masa terdekat. - Gambar hiasan
KUALA LUMPUR: Malaysia Building Society Bhd (MBSB) memaklumkan bahawa ia telah diberikan pelanjutan masa hingga 5 Jan, 2023 oleh Bank Negara Malaysia (BNM) untuk memuktamadkan rundingan dengan Permodalan Nasional Bhd (PNB) mengenai kemungkinan pegangan saham 100 peratus dalam Malaysian Industrial Development Finance Bhd (MIDF).
MBSB dalam maklumannya kepada Bursa Malaysia pada Jumaat berkata butiran lanjut mengenai urus niaga yang dicadangkan itu akan diumumkan dalam masa terdekat.
Terdahulu dalam pengumumannya pada 6 April, MBSB berkata BNM telah memberi lampu hijau untuk mengadakan perbincangan dengan PNB bagi meneroka kemungkinan pengambilalihan 100 peratus pegangan saham dalam MIDF yang dipegang oleh PNB.
Ia memaklumkan sebelum ini bahawa kelulusan BNM adalah sah untuk tempoh enam bulan dari tarikh surat itu.
-- BERNAMA
#Bank Negara Malaysia #MBSB #MIDF #pengambilalihan
;